Sunday 30 May 2010

Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 5 – bah. 2

Ini adalah sambungan Siri 5, ‘Rumahku dan sekitarnya’ bahagian 2.

# Apa yang lainnya

Bilik Airnya Kering

Bilik air kebanyakan rumah di sini adalah bilik air kering. Lantai bilik air tidak boleh dibasahkan kalau boleh ketika mandi. Lantai bilik air dan dapur rumah penulis dilapik dengan lantai Vinyl (PVC). Manakala ruang – ruang yang lain dilapik dengan karpet. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai lantai rumah di UK sila klik di sini.

Elektrik

Flat rumah penulis dibekalkan dengan kotak elektrik dan juga kunci elektrik. Kunci elektrik digunakan untuk menambah nilai elektrik. Penulis perlu menambah nilai elektrik di kedai – kedai tertentu sahaja yang mempunyai kemudahan ‘Pay Point’. ‘Top –up’ seberapa banyak nilai dalam pound (£). Selepas ditambah nilai, kunci berkenaan perlu dimasukkan ke dalam slot kunci pada kotak elektrik. Penggunaan elektrik bagi sebulan ialah £30 - £40. Bagus juga sistem sebegini, sekurang – kurangnya berjaya mendidik penulis sekeluarga lebih berhati – hati dalam penggunaan eletktrik dan belajar berjimat serta mengawal kewangan. Jika mereka yang duduk luar, sistem pembilan juga dipraktikkan dan selalunya bil dihantar 3 bulan sekali.

# Bekalan air paip percuma dan boleh diminum

Paip disediakan paip air panas dan paip air sejuk. Bekalan air paip adalah percuma di sini. Menurut kata orang sini, air paip ini adalah air paip bersih yang mana ia boleh diminum terus tapi penulis tidak pula pernah mencubanya. Untuk lebih selamat dan lebih bersih, masaklah air dulu. Air panas dipanaskan dengan menghidupkan alat pemanas air ‘boiler’ di dalam stor.

# Masih perlu membayar lesen televisyen

Penulis memilih lesen TV tempoh sah setahun. Harganya adalah lebih kurang £143 setahun. Boleh dibayar secara atas talian sahaja melalui laman web tvlicensing, bayar menggunakan kad debit, kemudian lesen akan dihantar melalui email. Segala pengunaan alat komunikasi berkaitan dengan televisyen perlukan lesen tv ini. Pernah penulis membeli alat penerima gelombang dalaman (‘indoor aerial’) masa mula – mula penulis membeli tv di sini. Di kedai tersebut data penulis diambil seperti nama dan alamat, kemudian selepas itu ada pihak ‘tvlicensing’ untuk mengesahkan pembelian penulis.

Untuk pengetahuan pembaca, di sini televisyen terpakai kecil 11 inci boleh diperolehi dengan harga yang murah iaitu sekitar £10 - £20. Siaran televisyen di sini sedang menuju era digital sepenuhnya pada tahun 2010. Siaran televisyen sekarang jika menggunakan alat penerima ariel biasa, kita boleh menonton siaran seperti BBC, STV dan FIVE. Sekiranya siaran televisyen secara digital, banyak siaran yang boleh ditonton dengan hanya memasang cakera penerima atau kotak alat penerima. Di sini, penyiar digital yang popular ialah SKT TV, VIRGIN MEDIA, BT. Konsepnya sama macam ASTRO di Malaysia. Penyiar televisyen ini selalunya menawarkan tawaran berpakej yang mengandungi TV DIGITAL, ‘BROADBAND’ INTERNET dan TALIAN TELEFON. Penulis hanya mengambil pakej mengandungi tawaran broadband internet dan talian telefon sahaja.


Sekitarnya Rumahku

Semua dekat. Alhamdulillah rumah penulis berdekatan dengan beberapa kawasan dan tempat stategik seperti pusat bandar, bank, pejabat pos, Universiti Dundee, sekolah dan nurseri, pasar raya kecil 'Lidl', kedai jual pelbagai barang ‘Pound Stretcher’, pusat membeli belah ‘Overgate’ – ala – ala Alamanda Putrajaya, pasar raya ‘PRIMARK’ – banyak jual pakaian, klinik kesihatan ‘GP’ serta farmasi ‘Boots’, kedai runcit dan kedai jual daging halal, kedai halal kebab, masjid, balai polis dan mahkamah. Semua tempat mudah dicapai dan mengambil masa 3 – 10 minit perjalanan.









Rumah Lain Sekitarnya

Rumah dan flat di sini, sewanya adalah dari £250 dan ke atas.

Rumah ini adalah rumah teres dua tingkat, dilengkapi perabot penuh, mempunyai laman belakang tetapi tempat letak kereta bukan dalam kawasan rumah. Mempunyai 2 bilik, satu dapur, dua ruang tamu, satu bilik air. Kadar sewanya ialah £500 sebulan.

Rumah ini adalah rumah banglo, dilengkapi perabot penuh, mempunyai laman belakang, mempunyai kawasan tempat letak kereta. Mempunyai 4 bilik, satu dapur, satu ruang tamu, satu bilik air, satu stor. Kadar sewanya ialah £550 sebulan.

Rumah ini adalah rumah flat. Ada rumah yang dilengkapi perabot penuh, perabot separuh dan tiada perabot. Tempat letak kereta di tepi jalan raya. Mempunyai 2 bilik, satu dapur, satu ruang tamu, satu bilik air, satu bilik utiliti. Kadar sewanya ialah £250 ke atas sebulan.

Pautan berkait :
Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 5 – bah. 1

bersambung untuk siri yang seterusnya...

Thursday 27 May 2010

Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 5 – bah. 1

Rumahku dan sekitarnya

Rumahku, Flatku
Rumah penulis sebenarnya adalah ‘asrama’ universiti. Ia rumah flat dalam bangunan 4 tingkat. Kalau hendak digambarkan ciri – ciri rumah penulis ini, saiznya seperti rumah flat kos rendah di Malaysia. Pertama kali penulis melihat rumah flat ini, penulis sedikit terkejut sebab dalam pengamatan penulis bila berada di negara maju ini, gambarannya ialah sekurang – kurangnya flatnya adalah ala – ala kondominium di Malaysia. Kalau mengikut maklumat yang dibaca, saiz flat dan rumah di sini memang kecil, tujuannya agar alat pemanas ‘heater’ boleh memanaskan ruang rumah ketika musim sejuk. Rumah penulis terletak di tingkat dua. Rumah yang penulis duduk ini ialah flat untuk keluarga.

Sewanya memang akan mengejutkan ramai, sewa sebulan kalau duitnya ditukarkan ke dalam mata wang Malaysia, sewa sebulan boleh beli sebuah motorsikal EX5.

Jom.... penulis mengajak ‘tour’ mengenai ‘suasana’ rumah penulis khususnya dan rumah di Dundee amnya.

# Bahagian luar

Menurut apa yang penulis baca, semua bangunan di sini dibina sama ada menggunakan batu, batu blok atau kayu. Bangunan flat penulis dinding luarnya diperbuat daripada lapisan batu yang agak tebal.

Kalau berminat hendak mengetahui jenis rumah yang terdapat di United Kingdom dan diperbuat daripada apa, boleh klik di sini.

Rajah - rajah di bawah menunjukkan bahagian luar bangunan flat rumah penulis




# Bahagian dalam

Flat penulis mempunyai satu bilik air, dua bilik, satu ruang tamu, satu stor dan satu dapur. Tiada koridor luar. Nak dikatakan flat penulis dilengkapi perabot (‘full-furnished’), dilengkapi katil bersaiz ‘queen’ dan sebuah katil dua tingkat (‘double decker’), laci boleh alih, sebuah meja dan kerusi belajar, meja dan kerusi makan, sebuah kerusi panjang dan sebuah kerusi pendek. Flat ini juga dilengkapi dengan beberapa peralatan seperti cerek, dapur gas dan oven, peti ais, penyedut hampagas, lampu belajar, papan kenyataan, tempat ampaian, dan alat – alat ganti elektrik yang lain.




Kebanyakan rumah di sini dilengkapi dengan tingkap yang ‘double glazing’ untuk menghalang udara sejuk masuk ke dalam rumah, tapi tidak bagi rumah penulis. Setiap ruang dalam rumah ini dilengkapi dengan alat pemanas ‘heater’ digunakan ketika cuaca sejuk dan ketika musim sejuk. Alat pemanas berfungsi secara berpusat dan menyala secara automatik bergantung kepada suhu sekitar. Alat pemanas boleh alih juga dibekalkan, lebih digunakan semasa musim sejuk. Selain itu ia dilengkapi dengan alat perhubungan ‘intercom’ dan pemadam api dan selimut api untuk kebakaran sekiranya berlaku. Untuk keselamatan, kunci dibekalkan bagi pintu utama dan rumah.




# Kemudahan yang tersedia

Bangunan flat 4 tingkat ini dilengkapi dengan lif. Selain itu jika penyewa flat mempunyai kereta, terdapat tempat letak kereta berbayar, maksudnya disewa berdekatan dengan pintu masuk utama. Menurut sumber, sewa tapak letak kereta adalah £32.00 sebulan. Alternatif lain ialah meletakkan kereta di masjid yang mana kadar sewanya ialah £15.00 sebulan.

Di sini kereta tidak boleh diletakkan sebarangan kerana nanti ada ‘parking attendant’ yang akan memantau dan sekiranya tidak mematuhi peraturan, saman akan dikeluarkan dan kadar samannya untuk kesalahan tidak meletakkan kereta dengan baik ialah £60.00.

Penyewa boleh menggunakan dewan ‘Common Room’ untuk sebarang urusan seperti mengadakan majlis keraian dan sebagainya secara percuma. Penulis kadang kala menempah dewan ini untuk aktiviti Komuniti Melayu Dundee (KMD) di sini.


Juga disediakan dobi layan diri. Yang mana pembasuh ‘washer’ dikenakan £2.00 (45 minit) untuk berfungsi dan pengering ‘dryer’ £1.00 (50 minit) – tambahan 10 pence setiap 5 minit. Penulis, mendobi sudah menjadi rutin mingguan setiap hari Sabtu. Anak – anak penulis seronok melakukan dobi bersama – sama. Mereka tidak ketinggalan mengikut penulis ke dobi setiap minggu.


Segala permasalahan dan kerosakan alatan flat sewa boleh diadukan kepada penjaga flat ‘janitor’ untuk tindakan selanjutnya. Sebarang kos penggantian (barang ganti dan pekerja) adalah percuma.

Pejabat ‘janitor’ Flat

bersambung untuk bahagian seterusnya...
Sebuah Kisah di Dundee, Scotland... siri 5 – bah. 2

Monday 24 May 2010

UCAPAN – UCAPAN ISLAMI DITERAP DALAM DIRI ANAK - ANAK

Anak – anak perlu diajar dan dibiasakan dengan ucapan – ucapan islami. Ini melibatkan proses penerapan, pemahaman dan seterusnya penghayatan. Dengan cara ini kita secara langsung mendidik anak – anak secara berperingkat – peringkat untuk mengenali pencipta dan yakin akan Allah yang Maha Esa.

Motivasi :
# Bayi mendengarkan suara merdu maka akan menunjukkan reaksi gembiranya.

# Bayi mendengarkan suara gaduh atau menakutkan maka akan menunjukkan reaksi dengan menjerit sebagai tanda ketakutan.

# Karena pengaruh ucapan, kata-kata, pembicaraan, dan percakapan maka islam mengharamkan pembicaraan yang merusak akhlak dan membawa pada kesesatan.

# Kata-kata yang berjiwa tauhid adalah semua kata yang menyatakan pengagungan kepada Allah, menguatkan iman dan membersihkan hati dari kekafiran dan syirik.

Berikut antara ucapan – ucapan Islami yang boleh diajarkan kepada anak – anak :


Bismillahirrahmaanirrahiim
Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Bismillaahi awaalihi wa-akhirihi
Dengan menyebut nama Allah sejak awal hingga akhirnya

Agar menanamkan dalam diri anak keyakinan bahwa segala sesuatunya hanya terjadi atas izin Allah.

KATA INI DIUCAPKAN :
1. Ketika memulai sesuatu yang baik.
2. bila lupa membaca bismillah dari awal, lalu kita baca ini ketika ingat.


Alhamdulillahirrabbil-‘aalamiin
Segala puji bagi Allah

Agar timbul kesedaran pada anak akan karunia Allah, dan menjauhkan anak dari sifat takabur karena meraih sesuatu yang baik.

KATA INI DIUCAPKAN :
1. Ketika selesai sesuatu yang baik.
2. selesai belajar, makan/minum
3. bangun tidur
4. memperoleh nikmat, rezeki
5. selesai batuk/bersin


Subhanallah
Maha Suci bagi Allah

Untuk menyedarkan kepada anak akan keagungan Allah, mengingatkan serba kelemahan akan hidup di dunia serta menghilangkan sifat mendewakan akal (rasionalisme).

KATA INI DIUCAPKAN :
1. Mengagumi peristiwa atau kejadian yang luar biasa
2. Duduk dalam Majlis


Astaghfirullah
Aku memohon ampun kepada Allah

Untuk menanamkan pada jiwa anak rasa enggan untuk mendekati perbuatan dosa dan segera memohon ampun kepada Allah apabila berbuat dosa.

KATA INI DIUCAPKAN :
1. Terlanjur berbuat dosa, lalu menyesal
2. Meminta Ampun bagi kesalahan sesama Mukmin


Allaahu-akbar
Allah Maha Besar

Agar tertanam jiwa Tauhid atas keagungan Allah.
KATA INI DIUCAPKAN :
1. Pada hari Idul Fitri
2. Ketika mengalami peristiwa besar seperti: perang, banjir, dsb
3. Apabila menaiki tempat yang tinggi


Aamiin
Mohon diperkenankan”

Agar tertanam kesedaran pada anak untuk menggantungkan segala harapan hanya kepada Allah, dan mendekatkan segala permohonan pada Sunnatullah.

KATA INI DIUCAPKAN :
1. Saat akan mengakhiri doa


Yarhamukallaah
Mudah-mudahan Allah memberi rahmat kepada mu

Agar menanamkan pada jiwa anak anak rasa persaudaraan sesama mukmin, dan agar anak menghayati jasa orang tua kepada dirinya.

KATA INI DIUCAPKAN :
1. Untuk mendoakan orang yang bersin setelah yang bersangkutan ucapkan Alhamdullillah
2. Untuk mendoakan kedua Orang tua


Maa-syaa-Allaah Lahaulaawala-quata-illaabillaah
Sesuai kehendak Allah, Tidak ada upaya dan kekuatan melainkan Pertolongan Allah

Agar tertanam pada jiwa anak kesedaran bahwa tidak ada tindakan yang bisa dilakukan kecuali pertolongan Allah.

KATA INI DIUCAPKAN :
1. Ketika diberi nikmat
2. Ketika mendapat keselamatan dari bencana


Assalaamu’alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh
Semoga keselamatan, rahmat dan berkah kepadamu dari Allah

Diharapkan anak akan lebih mudah berkenalan dengan sesama muslim, mengingatkan bahwa sesama muslim itu bersaudara sehingga mempererat persaudaraan.

KATA DIUCAPKAN KETIKA :
a. Ketika masuk ke dalam rumah
b. Ketika bertemu dengan sesama muslim
c. Ketika datang di suatu majlis.


Barakallaahu laka
Semoga Allah memberikan keberuntungan kepadamu

Diharapkan anak akan turut memberikan semangat kepada sesama saudara muslim dalam berjuang dan belajar serta berusaha.

KATA DIUCAPKAN KETIKA :
a. Untuk memberikan selamat pengantin baru
b. Menyambut kedatangan bayi baru lahir
c. Ketika menerima hadiah/penghargaan


Innaa lillaahi wa-inna ilaihi raji’uun
Sesungguhnya kita milik Allah dan akan kembali kepadanya

Agar tertanam kesedaran bahwa segala sesuatu adalah milik Allah dan pasti kembali kepadanya, serta menghidarkan anak dari stres.

KATA INI DIUCAPKAN :
a. Apabila mendapatkan musibah (sakit) atau mendapatkan hal-hal yang merugikan (bencana)
b. Ketika ada orang islam yang meninggal


Insyaa Allah
Jika Allah mengkehendaki

Agar tertanam kesedaran bahwa manusia tidak mempunyai kemampuan untuk melaksanakan segala hal bila Allah tidak mengizinkan.

KATA INI DIUCAPKAN :
a. Ketika berniat mengerjakan sesuatu pada waktu yang akan datang
b. Berjanji kepada orang lain
c. Memberikan saran kepada orang untuk melakukan sesuatu yang baik
d. Mengharapkan keberhasilan dalam melakukan suatu hal yang baik
e. Memberikan pilihan melakukan beberapa hal yang semuanya baik


A’uudzubillaahiminasy-syaitho nirrajiim
Aku berlindung kepada Allah dari godaan syaithan yang terkutuk”

Diharapkan pada diri anak akan tertanam kebersihan jiwa dari pengaruh nafsu yang buruk, mengembalikan kesedaran adanya perlindungan dari Allah.

KATA INI DIUCAPKAN :
a. Bila membaca Al-Qur’an
b. Ketika Marah
c. Ketika terjaga dari mimpi buruk, dan merasa diganggu setan
d. Waktu tengah shalat tergangu oleh pikiran lain


Subhanallah walaa yaa naamu walaa yamuutu
Maha Suci Allah yang tidak pernah tidur dan tidak mati

Diharapkan anak sedar bahwa Allah tidak pernah tidur dan lupa, sehingga timbul kesedaran pada diri anak untuk mengerjakan perintah Allah dengan baik dan sempurna.

KATA INI DIUCAPKAN :
1. Ingat …. dari lupa bilangan raka’at atau rukun dalam shalat, ini dibaca ketika sujud sahwi.
2. Ingat … dari lupa sesuatu yang penting.


Laa-ilaa-ha-illallaah
Tidak ada Tuhan selain Allah

Diharapkan anak selalu ingat kepada Allah, sehingga anak tetap menyembah dan meminta tolong hanya kepada-Nya, jangan sampai berbuat SYIRIK.

KATA INI DIUCAPKAN :
1. Ketika ragu dalam hati kekuasaan-Nya
2. Ketika kita lupa mengingat Allah.

Semoga anak - anak kita menjadi anak yang soleh dan solehan. Amin.

Thursday 20 May 2010

GURU OH GURU, CIKGU OH CIKGU... bahagian 2

JASMANI, EMOSI, ROHANI DAN INTELEK SEORANG GURU


# Sifat – sifat mulia pada seorang guru
Menjadi guru itu adalah satu tugas mulia dalam mendidik pelajar. Oleh itu sifat – sifat yang perlu ada untuk mendidik dengan penuh kesungguhan dan berkesan, seorang guru perlu meningkatkan kesabaran, bersemangat teguh, ketajaman fikiran dan mampu mengendalikan setiap pelajar dengan berkesan.

Semua insan bergelar guru perlulah menjelmakan ketekunan sebagai pendidik cemerlang dengan iltizam yang lebih tinggi. Selain itu, sifat jujur dan ikhlas Keutuhan peribadi, luas pengetahuan, kreatif dan berkemahiran, bijak berkominukasi, kerja berkualiti dan prestasi yang tidak pernah statik. (16)

Guru itu sendiri perlu juga menjalankan kerja dengan keikhlasan dan sentiasa berfikiran terbuka (10)

# Minat mendalam dalam mendidik dan mengajar

Memohon untuk menjadi guru adalah kerana betul-betul kerana minat dalam bidang itu dan benar-benar dedikasi menjadikan guru sebagai profesion dan bukan sebagai pilihan terakhir. Ini kerana guru adalah profesion mulia yang dipandang tinggi oleh masyarakat. Sebagai pembimbing dan pendidik guru sentiasa dipandang hormat oleh masyarakat. Jadi atas dasar itu mereka yang mahu berkhidmat sebagai guru mesti menjadi guru profesional. Guru bukan seperti penjawat awam yang lain kerana mereka adalah pembimbing, pembentuk akhlak dan sahsiah, jadi mereka mesti komited sebab itu kita perlukan guru yang benar-benar mementingkan profesion. (15)

# Guru perlu ada rasa bangga dengan profesionnya sendiri

Apa yang pasti, hanya guru yang bangga dengan tugasnya dapat melaksanakan sesuatu kerja itu dalam apa juga keadaan atau persekitaran dengan baik. Apatah lagi, perkhidmatan yang diberikan itu begitu mulia dan bukan calang orang dapat melaksanakannya. Oleh itu, berbanggalah dengan kerja anda. (8)

Menetapkan di dalam hati menjadi guru kepada pelajar adalah perkara terbaik yang dilakukan dalam kehidupan dan kerjaya menjadi guru itu adalah satu tugas yang amat mulia.

# Dedikasi dan pengorbanan guru

Jika seseorang guru itu benar-benar dedikasi mereka tidak akan melihat tugas selain dari mengajar dan mendidik sebagai satu beban. Istilah beban itu sesuatu yang tidak disukai, kalau dia minat walaupun tugas itu berat, saya fikir dia bersedia untuk berkorban. Konsep pengorbanan dalam profesion perguruan penting juga dan ada guru-guru sanggup datang ke sekolah tanpa disuruh oleh guru besar untuk melaksanakan tugas membimbing pelajar. Ini menunjukkan bahawa guru ini mempunyai komitmen yang jauh lebih tinggi dan sanggup datang ke sekolah dan mengadakan tuisyen tanpa diminta oleh ibu bapa. (15)

# Guru perlu mempunyai pemikiran positif dan bersih

Dalam guru sebagai rakan sejawat. Hubungan sesama guru adalah adalah dalam konteks suatu rumpun keluarga di bawah satu bumbung ilmu. Sebagai akar dan umbi yang saling bertaut, kerjaya seorang pendidikan tidak seharusnya diselaputi syak wasangka, pentingkan diri sendiri, pesimis atau saling salah menyalahkan antara satu sama lain. (16)

# Kepuasan bekerja untuk memberi manfaat kepada orang lain

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan paling disukai Allah ialah menggembirakan hati orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar." (Hadis riwayat Ibnu Abi Dunya)

Ini menunjukkan pandangan hidup Islam sendiri, berbuat baik dan memberikan keselesaan kepada orang lain sangat dituntut dan akan mendapat balasan baik. Tugas yang dilaksanakan iaitu memberi perkhidmatan kepada orang ramai adalah satu tugas mulia. Seharusnya, mereka bukan saja berusaha memuaskan hati orang lain tetapi lebih penting adalah mendapatkan kenikmatan sendiri daripada tugas yang berjaya dilaksanakan dengan baik. (8)

# Setiap guru mesti bersedia menghadapi cabaran mendatang.

Cabaran yang mendatang sama ada daripada murid, ibu bapa atau ahli masyarakat pelbagai lapisan dengan tabah, profesional, beretika dan jujur serta penuh berakauntabiliti. Dengan itu guru sudah menjunjung profesionnya ke tahap tinggi. (7)

# Sentiasa mengukuhkan azam untuk meningkatkan prestasi menjadi guru berkualiti

Guru-guru perlu berupaya mewujudkan ciri-ciri pengajaran dan pembelajaran yang kreatif dan inovatif supaya budaya inovasi dan kreativiti dapat dipupuk dalam diri murid-murid. (5)

Guru-guru perlu sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran yang diperlukan sebagai seorang guru untuk membolehkan mereka memberikan perkhidmatan yang bermutu setiap masa. Ingatlah bahawa peranan kita sentiasa dinilai oleh masyarakat. (5)

Guru sentiasa mencari peluang untuk menambah ilmu, mendapatkan kemahiran dan kursus motivasi agar mereka peka tentang tugas dan tanggungjawab dan kecintaan mereka terhadap profesion ini, seperti mengikuti latihan dalam perkhidmatan anjuran institusi pendidikan. (12)

Penambahan ilmu dan kemahiran ini boleh membantu dalam membentuk diri kita menjadi guru yang berkualiti.

Guru sentiasa perlu menaik taraf diri menjadi guru berkualiti, kerana guru berkualiti menjamin ‘kemenjadian’ pelajar dari segi prestasi dan sahsiah.

Kemenjadian adalah ‘outcome’ yakni kita menekankan tentang pencapaian, hasilnya bukan ‘output’. Misalnya kita latih seratus orang kita keluarkan seratus orang tetapi ‘outcome’ ataupun kesannya adalah kepada pelajar. Kalau guru itu berkualiti maka pelajar akan menjadi insan yang kamil dan cemerlang. (12)

Ciri – ciri guru berkualiti berdasarkan Standard Guru Malaysia (SGM).

SGM menekankan tiga standard yang harus menjadi pegangan bagi guru iaitu amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman dan kemahiran pengajaran dan pembelajaran (P&P). (12)

# Guru harus mempunyai semangat dan daya juang tinggi.

Tidak ada sikap tidak boleh, tidak yakin, tiada masa, tiada kemahiran dan sebagainya. Ciri guru yang lebih berdaya saing ialah mempunyai keyakinan diri, kemahiran terkini, masa yang mencukupi, kreatif dan inovatif, menolak segala alasan dan menerima segala cabaran. Hal ini bertepatan ungkapan “Teachers open the door. You enter by yourself”, yang bermaksud, guru sedia memberi segala ilmu yang ada dan terpulang pelajar mencorakkan keadaan yang akan datang. (7)

Guru mengerti usaha mendidik dan membangunkan insan bukan mudah. Meskipun begitu, semangat mereka tidak pernah luntur malah terus berusaha menyusun langkah meneruskan perjuangan demi memikul amanah Allah.

# Niat dan Kesungguhan seorang Guru

Keberkesanan penyampaian ilmu oleh guru bergantung kepada sejauh mana kesungguhan dan niatnya yang baik.
Islam sentiasa memberi panduan kepada para guru agar memperkasa dan memperbaiki diri agar menjadi golongan pendidik yang betul-betul memenuhi tuntutan seperti yang difirmankan oleh Allah SWT menerusi ayat 122 surah at-Taubah yang bermaksud :
Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan (di kalangan umat Islam) di antara mereka beberapa orang untuk memperdalami pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya (masyarakat) apabila mereka telah kembali ke pangkuan mereka, supaya mereka (masyarakat) itu lebih berwaspada.

Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT menekankan dua perkara utama kepada golongan guru (yang menuntut ilmu) bagi mencapai keberkesanan penggarapan ilmu yang dipelajari.

Arahan Allah untuk memperdalami dan bukannya kekadar belajar. Arahan Allah selepas proses mengajar penggarapan ilmu, menyedarkan masyarakatnya dengan memberi peringatan. Jika kedua-dua konsep ini dipraktikkan maka iai boleh meletakkan seseorang yang menuntut ilmu itu mencapai status pendidik yang tinggi.

Ini kerana, pendidik bukan sekadar mengajar atau mencurahan ilmu kepada pelajarnya, malah memastikan para pelajarnya benar-benar mempraktikkan segala ilmu yang digarap, ditambah pula peranan pendidik mampu menjiwai permasalahan yang dihadapi oleh pelajarnya serta mengadakan program susulan jangka panjang. (11)

Keberkesanan sesuatu ilmu yang disampaikan itu bergantung kepada lima perkara untuk mencapai status pendidik yang berdedikasi dan komited terhadap kerjayanya.

Lima perkara yang perlu direalisasikan oleh pendidik, nescaya dia mampu melonjakkan kedudukan sebagai pendidik atau pewaris nabi-nabi, ini berdasarkan Syeikh Prof dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya yang bertajuk "Rasul dan ilmu pengetahuan" :

-Perasaan tanggungjawab terhadap agama, pelajar, masyarakat dan negara.

-Amanah keilmuan yang digarap, dalam erti kata, seorang guru itu mampu menerapkan ilmu sehingga anak muridnya mampu membezakan yang mana baik dan betul, yang mana tidak baik dan salah, dalam erti kata lain dapat membezakan yang mana perkara halal dan perkara haram, kerana ia adalah satu amanah yang besar yang akan disoal di akhirat nanti.

-Mengembalikan 'Izzah (kemuliaan) Islam dengan meletakkannya di tempat yang paling tinggi dalam kehidupan masyarakat.

-Ada perasaan tawadu' (rendah diri) terhadap orang lain.

-Beramal dengan kesesuaian ilmu yang digarap, dalam erti kata tidak menyanggah tindakan dengan penghayatan ilmu. (11)

# Guru perlu menanam dan menerap semangat Guru Cemerlang dalam minda, hati dan jiwa

Guru cemerlang boleh ditakrifkan sebagai guru yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kepakaran yang tinggi dalam mata pelajaran khususnya dalam pengajaran dan pembelajaran. Golongan itu sentiasa berdedikasi dan bermotivasi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang cemerlang secara berterusan. Peranan mereka pula adalah lebih menjurus kepada menjadi pakar rujuk, memberi khidmat nasihat dan memberi bimbingan kepada rakan lain.

Selain itu, guru cemerlang adalah kumpulan guru yang sentiasa peka, prihatin dan gigih membuat perancangan, pelaksanaan dan pembangunan diri murid dalam pengajaran dalam mata pelajaran kepakaran. Mereka juga sentiasa mengkaji dan menghasilkan inovasi baru demi memartabatkan profesion ini bertaraf dunia. Mereka sewajarnya perlu ikhlas menyumbang bakti kepada anak didik setimpal dengan gelaran diterima mereka.

Guru Cemerlang tidak mengambil pendekatan berada dalam 'zon selesa' sehinggakan melupakan tugas dan peranan mereka dalam erti kara sebenar. Peranan berat mereka pasti menjadi ringan sekiranya ada usaha berterusan untuk meningkatkan pencapaian diri dalam semua perkara. (10)

Rahsia guru cemerlang
•Memiliki disiplin tinggi dan ketrampilan contoh.
•Kemampuan mengajar dan membentuk bakat pelajar.
•Menguasai subjek pelajaran yang dikendalikan.
•Kemampuan menggunakan multimedia atau media pembelajaran.
•Komited dalam kerjaya.
•Bijak mengawal tumpuan pelajar dalam kelas.
•Kreatif dalam menarik minat pelajar dalam mata pelajaran diajar.
•Mampu melahirkan pelajar berkualiti dan cemerlang (17)

PERIBAHASA TENTANG GURU


''Guru ibarat lilin, membakar diri menerangi orang lain''.
Ini adalah pepatah lama yang bermaksud guru dulu terpaksa menempuh pelbagai kesukaran seperti tiada kemudahan dan infrastruktur, karenah dan disiplin pelajar dalam menjalankan tugas , mengajar dan mendidik anak – anak murid. (4)

Pengertian semasa bermakna guru sedia berkorban, masa dan tenaga demi memastikan anak didiknya berjaya. (7)

"Guru ibarat bunga, mewangikan dirinya di samping mewangikan orang lain''.
Bunga sifatnya sangat sentimental. Tiap-tiap sekuntum bunga biasanya adalah wangi. Bagi dirinya wangi dan bagi orang yang menciumnya berbau harum dan wangi. Bunga yang berwarna-warni diibaratkan sebagai para guru yang disukai oleh orang ramai kerana budi pekertinya yang menarik.

Pokok bunga tersebut akan berbunga silih berganti, mengeluarkan benih yang akan menyambung hayatnya. Bagi guru begitulah hendaknya sentiasa mewangi anak bangsanya dan tak lupa lebih-lebih lagi anak mereka sendiri. (4)

''Guru ibarat matahari, menerangi dirinya di samping itu menerangi orang lain."
Guru ibarat sebagai matahari, menerangi dirinya, di samping menerangi orang lain. Walaupun jauhnya matahari 93 juta tahun perjalanan, ia masih dengan kuasa Allah menerangi alam dan makhluknya.

Matahari dianugerahkan Allah sumber kehidupan termasuk dalam pendidikan. Rata-rata para pendidik kita mahir dalam melayari internet untuk membimbing para pelajar dan anak-anak mereka.

Terangi mereka yang diamanahkan kepada guru dengan akal budi yang luhur di samping dapat memilih mana yang buruk dan yang baik. (4)

Dalam Islam, Rasulullah pula menggambarkan bahawa seorang yang berilmu iabarat bulan purnama. Rasulullah bersabda maksudnya :
Kelebihan orang yang berilmu berbanding `abid samalah seperti kelebihan bulan purnama berbanding segala bintang.” (Riwayat Abu Daud dan At -Tirmizi). (1)

WAJAR SEBAGAI PENERIMA ILMU SENTIASA MENGHARGAI PENDIDIK ATAU GURU


Jasa guru akan terus bersambung selagi ada generasi yang ingin menerima ilmu. Sumbangan mereka tidak pernah putus. Sekali dia menjadi guru, selamanya dia akan dipanggil guru. Jasa pendidik curah ilmu tidak mungkin terbalas dengan segunung harta.

# Menjaga tatasusila dan adab oleh penuntut ilmu apabila bermuamalat dengan gurunya.

Ulama menggariskan beberapa adab yang perlu diikuti bagi mendapat keberkatan ilmu yang dipelajari.
Imam Ghazali antara lain menyebut dalam kitabnya Ihya 'Ulum ad-Din :
"Apapun yang diterangkan oleh guru ketika pengajian maka hendaklah (penuntut) mengikutinya dan meninggalkan pandangan peribadinya, kerana kesilapan guru lebih bermanfaat daripada apa yang mungkin benarnya yang datang dari dirinya (penuntut)."

Bukanlah maksud kata-kata itu bahawa segala yang dicurahkan guru, walaupun ia mungkin ada kesilapan perlu diterima bulat-bulat, tetapi apa yang cuba disampaikan adalah betapa perlunya bagi penuntut untuk sentiasa meletakkan martabat guru pada tempat yang selayaknya.

Percanggahan pendapat harus ditangani dengan bijak supaya hubungan antara penuntut dengan gurunya akan terus terpelihara dan dijauhkan daripada menjatuhkan air muka guru di khalayak ramai. (14)

# Merendah diri

Sebagai murid atau pelajar yang menerima banyak ilmu yang diajar guru, kita seharusnya merendahkan diri sebagai tanda menghormati kewibawaan dan keilmuan yang mereka miliki.

Rasulullah bersabda bermaksud :
Pelajarilah ilmu pengetahuan dan pelajari juga dengan ilmu tersebut ketenangan jiwa dan kerendahan diri. Rendahkanlah diri kamu kepada orang yang mengajar kamu.” (Riwayat Abu Hurairah) (1)

# Doa akan Guru

Doa sememangnya cara terbaik menyatakan penghargaan atas usaha guru. Selain menghormati dan menunaikan hak mereka, hanya doa yang dapat kita panjatkan ke hadrat Allah sebagai tanda kita mengasihi mereka dan mengharapkan keredaan Allah ke atas diri mereka.

Dengan berdoa agar kehidupan guru kita penuh dengan keberkatan dan keselamatan. Bahkan dengan doa inilah kita akan dapat mewujudkan hubungan kasih sayang yang erat dengan guru kita itu selama ini yang kita masih dapat mengesannya atau yang pergi meninggalkan kita. (1)

# Memohon kemaafan dan restu


Memohon kemaafan daripada pihak guru atas segala tindak tanduk pelajar selama ini yang mungkin menyebabkan guru kecil hati. Para pelajar boleh memohon jasa baik guru agar dihalalkan segala ilmu yang dicurahkan serta mendoakan pelajar agar memperoleh keberkatan ilmu yang dipelajari. Faktor restu guru adalah penting demi kejayaan pelajar bukan sahaja dalam peperiksaan tetapi juga terhadap aspek kehidupan pelajar yang lain seperti akhlak dan sahsiah. (3)

# Hormat pada Guru

Hormat terhadap guru dengan cara berkomunikasi dengan guru secara sopan santun dan bijaksana. Selain itu tekun berusaha untuk memahami pengajaran guru, menyiapkan tugasan yang diberikan serta mengamalkan ilmu bermanfaat yang disampaikan oleh guru kepada pelajar. Mematuhi peraturan sekolah juga merupakan cara menghormati guru. Peraturan sekolah melengkapkan serta melancarkan pendidikan guru di dalam kelas. (3)

# Mengucapkan Terima Kasih Cikgu

Ucapan terima kasih seharusnya ditujukan khas buat guru yang banyak berkorban masa, tenaga dan idea demi melihat anak didiknya terus berjaya, bukan saja di dunia malah di akhirat kelak.

Hal ini bertepatan saranan Baginda SAW yang mengajar umatnya sentiasa ringan mulut untuk mengucapkan 'terima kasih' kepada sesiapa saja yang berbakti kepada mereka.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Tidaklah berterima kasih kepada Allah sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia." (Hadis riwayat Bukhari) (14)

# Muhasabah diri

Hadiah yang tidak ternilai buat seorang guru ialah apabila pelajar bermuhasabah diri demi mengenal pasti sejauh mana pelajar telah berperanan sebagai seorang pelajar yang sedang menuntut ilmu daripada seorang guru. Pelajar boleh menilai diri mereka melalui sudut pandang guru terhadap pelajar, yakni apakah ciri-ciri seorang pelajar yang disukai dan yang tidak disukai oleh guru. (3)

# Jangan ego dengan kelebihan yang ada

Guru juga seorang manusia biasa dan tidak dapat lari daripada memiliki kekurangan atau melakukan kesilapan. Justeru sebagai pelajar, kita seharusnya mencontohi perkara kebaikan yang ditunjukkan oleh guru dan mengambil iktibar daripada kekurangan guru dengan berusaha menjadi lebih baik. Bagi sesetengah pelajar, mereka mungkin memiliki pengetahuan atau kemahiran yang lebih baik daripada apa yang mampu diajarkan oleh guru. Hal ini tidak seharusnya menjadikan pelajar berasa ego atau tinggi diri terhadap guru lalu menyebabkan pelajar hilang rasa hormat terhadap guru atau mengabaikan pengajaran guru.

Andainya pelajar kurang bersetuju dengan mana-mana pengajaran guru, perkara tersebut perlu dicurahkan melalui kaedah diskusi secara berhemah dan bijaksana tanpa sebarang unsur yang merendahkan martabat seorang guru serta tidak menjejaskan hubungan antara pelajar dan guru. (3)

# Manfaat ilmu dalam kehidupan

Pengorbanan dan kesungguhan guru menghadapi cabaran perlu dibalas dengan kejayaan pelajar menterjemahkan ilmu disampaikan dalam kehidupan mereka. Segala penat lelah terbalas apabila melihat pelajar yang dididik serta dibimbing penuh kasih sayang mencapai kejayaan dalam pelajaran seterusnya mencapai kecemerlangan. (2)

Artikel berkaitan : GURU OH GURU, CIKGU OH CIKGU... bahagian 1

Sumber rujukan :
(1) Bharian Online 15/05/2010 (1 Jamadil Akhir 1431) – Artikel bertajuk Doakan guru tanda kasih sayang

(2) Bharian Online 15/05/2009 (20 JamadilAwal 1430) – Artikel bertajuk Manfaat ilmu cara terbaik hargai jasa guru

(3) Utusan Online 21/05/2009 (26 Jamadilawal 1430) – Artikel bertajuk Muhasabah diri sempena Hari Guru

(4) Utusan Online 13/05/2010 (29 Jamadil Awal 1431) – Artikel bertajuk Peranan guru bagai 'matahari'

(5) Utusan Online 14/05/2010 (30 Jamadil Awal 1431) – Artikel bertajuk Terima kasih cikgu

(6) Utusan Online 16/01/2009 (30 Muharram 1431) –Artikel bertajuk Pelajar rindu pujian guru

(7) Bharian Online 12/05/2009 (17 Jamadilawal 1430) – Artikel bertajuk Bicara Canseleri: Kenang jasa guru

(8) Bharian Online 12/05/2009 (17 Jamadilawal 1430) – Artikel bertajuk Perspektif IKIM: Berbangga dengan kerja tingkat kualiti tugas

(9) Bharian Online 2/07/2009 (9 Rejab 1430) – Artikel bertajuk Pendakwah dituntut bersikap lemah lembut, sentiasa sabar

(10) Bharian Online 24/11/2009 (6 Dzulhijjah 1430) – Artikel bertajuk Guru Cemerlang lonjak prestasi akademik

(11) Harakahdaily 16 Mei 2008 – Artikel bertajuk Sempena Hari Guru - Penghormatan kepada guru - Antara kebenaran dan kepalsuan

(12) Utusan Online 14/05/2009 (19 Jamadilawal 1430) – Artikel bertajuk Komitmen guru tingkatkan sistem pendidikan

(13) Bharian Online 16/05/2009 (21 Jamadilawal 1430) – Artikel bertajuk Guru pendukung aspirasi membentuk modal insan holistik

(14) Bharian Online 16/05/2009 (21 Jamadilawal 1430) – Artikel bertajuk Profesion perguruan setanding peranan ulama

(15) (Utusan Online) 16/05/2010 (2 Jamadil Akhir 1431) – Artikel bertajuk Menjadikan Guru Berkesan

(16) Utusan Online) 19/05/2010 (5 Jamadil Akhir 1431) – Artikel bertajuk Guru sejati tidak harapkan ganjaran, insentif

(17) Bharian Online 15/05/2010 (1 Jamadil Akhir 1431) – Artikel bertajuk Cikgu lelaki

GURU OH GURU, CIKGU OH CIKGU... bahagian 1


Saban tahun kita di Malaysia kita menyambut Hari Guru. Tarikh 16 Mei menjadi pilihan untuk sambutan Hari Guru khusus untuk mengingati sagala budi dan jasa guru dalam mendidik kita. Apapun bagi penulis, istilah ‘guru’ yang digunakan bermakna lebih kepada pendidik yang menjalankan tugas bukan sahaja mengajar tapi juga mendidik seseorang. Oleh itu sambutan hari guru sebenarnya, skopnya bukan hanya bertumpu kepada cikgu – cikgu yang berada di sekolah rendah atau menengah, tapi lebih terbuka ditujukan kepada semua mereka yang pernah memberikan ilmu, tidak kira apa sahaja ilmu, kepada kita sama ada secara formal atau tidak formal, secara langsung ataupun tidak langsung.

Tahun 2010, sambutan kali ke-39 diraikan di negara bertuah ini. Sambutan Hari Guru bermula 1972 dengan tema: ''Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara'' dan pada tahun 2010 temanya ''Guru Pembina Negara Bangsa''. (4)

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada 16 Mei 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu menerima cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran sebagai dasar pelajaran negara. Dokumen yang dikenali sebagai Laporan Razak itu kemudiannya menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan. (5)

Setiap orang, tidak kira siapapun orang itu pada ketika ini, pasti pernah diajarkan atau dididik oleh sekumpulan pengajar atau kita panggil guru. Bermula dari tidak tahu membaca dan menulis sehinggalah berjaya menjadi seseorang yang berguna dalam masyarakat, kita perlukan bimbingan dan tunjuk ajar seorang guru.

JASA guru tidak ternilai dengan wang ringgit. Tingginya martabat mereka yang sanggup berkorban apa saja, hatta masa, tenaga dan wang, membuatkan jasa mereka dikenang sehingga ke akhir hayat. Bak kata orang, harta dan wang boleh habis sekelip mata, tetapi ilmu yang diajar seorang guru kekal selama-lamanya.

Sama juga dengan diri penulis, dulu penulis sebagai seorang murid, pelajar dan mahasiswa dan kini penulis ‘kembali semula ke sekolah’ menjadi seorang pendidik iaitu guru. Cita – cita dulu kalau ditanya memang ada hati hendak jadi pensyarah sebab terdorong dengan pekerjaan ayah penulis yang juga merupakan seorang yang terlibat dengan bidang pendidikan iaitu pengajar bahagian mekanikal. Apapun kerjaya penulis juga ditakdirkan menceburi bidang pendidikan, akhirnya ditakdirkan penulis, walaupun bukan sebagai pensyarah tetapi sebagai guru sekolah.

Jika direnung kembali akan Falsafah Pendidikan Kebangsaan...

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."

Jelas bahawa tujuan pendidikan tinggi bukan hanya setakat memperoleh segulung ijazah atau diploma, tetapi adalah untuk pembangunan diri manusia secara menyeluruh dan seimbang supaya menjadi seorang insan, ahli keluarga dan masyarakat dan warganegara yang berilmu, bertanggungjawab, berakhlak mulia, dan berbakti. Namun itulah yang dipikul oleh seseorang yang bergelar guru atau pendidik. Falsafah ini menjadi pegangan, menjadi pembakar semangat untuk berusaha gigih dan komitmen spenuhnya bagi melahirkan insan yang gemilang dalam segala aspek kehidupan.

Daripada bacaan penulis, merujuk istilah Arab, seorang guru itu hasil daripada gabungan lima eleman penting membabitkan muallim, murabbi, mursyid, muaddib dan mudarris.

Muallim bermaksud orang yang menjayakan proses menyampaikan ilmu, murabbi pula orang yang menjayakan tarbiyah, mursyid orang yang membimbing, menentukan kehidupan dan nilai yang betul, muaddib orang yang menjayakan adab manakala mudarris orang yang mengajar mata pelajaran. (1)

Pada pendapat penulis, tugas utama seorang guru atau pendidik adalah mendidik, mengajar dan memimpin.

GURU ITU MENGAJAR ILMU


Tugas utama ialah mengajar matapelajaran yang diamanahkan. Namun jika suatu ketika dahulu, pencapaian gred amat dititikberatkan sebagai matlamat mencapai cemerlang. Namun kini, atas keperluan masa kini, guru perlu bijak mengajar ilmu dan juga menghubungkaitkan dengan kehidupan dan juga menerapkan nilai – nilai murni dalam pengajaran dan pembelajaran.

Guru perlu sentiasa mencari jalan menambah dan mengembangkan ilmu yang ada dan kemudian menyebarkannya agar memberi manfaat kepada sesiapa yang memperolehinya. Seseorang yang berilmu, darjatnya amat tinggi di sisi Allah. Allah berfirman maksudnya :
Allah akan meninggikan (darjat) orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berilmu pengetahuan di antara kamu dengan beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Majadalah: 1) (1)

Islam sebagai agama yang mementingkan ilmu pengetahuan memandang tinggi martabat seorang pendidik. Rasulullah SAW sendiri sudah membuktikan pentingnya peranan guru dalam proses penyebaran dakwah Islamiah pada zaman permulaan Islam.

Sebagai utusan terakhir kepada umat manusia, Baginda sendiri berperanan mengajar dan mendidik umat manusia berpandukan wahyu Ilahi yang diterimanya.

Firman Allah yang bermaksud :
"Dialah (Allah) yang mengutuskan daripada kalangan orang yang Ummiyyin, seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat Allah, dan membersihkan mereka (dari iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam keadaan sesat yang nyata." (Surah al-Jumu'ah, ayat 2)

Selain itu, Baginda SAW juga mengambil inisiatif dengan menghantar Mus'ab ibn 'Umair ke bumi Yathrib (Madinah) dengan tujuan mengajar al-Quran dan ilmu asas berkaitan Islam kepada masyarakat Arab yang baru memeluk Islam pada ketika itu. (14)

Inilah antara peranan penting pendidik dalam usaha menyebarluaskan dakwah Islamiah dengan cara lebih berkesan. Secara tidak langsung, sebenarnya Rasulullah SAW turut menggesa umatnya menjadi pendidik menerusi sabdanya yang bermaksud :
"Sampaikanlah daripada aku walaupun sepotong ayat." (Hadis riwayat Bukhari)

Saidina Ali pernah berkata :
"Jadilah orang yang mencurahkan ilmu atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang suka mendengar ilmu atau orang yang cintakan ilmu dan jangan kamu jadi golongan yang kelima, maka kamu akan binasa." (14)

Segala amal bakti seorang guru menyampaikan ilmu bermanfaat kepada anak didik akan melayakkan dirinya mendapat ganjaran kebaikan, meskipun setelah pergi mengadap Ilahi.

Firman Allah yang bermaksud :
"Dan (ingatlah), apa juga kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya." (Surah al-Muzammil, ayat 20)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Apabila meninggal dunia seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, anak soleh yang mendoakannya." (Hadis riwayat Muslim) (14)

GURU ITU MENDIDIK


# Guru berperanan memberi kesedaran kepada diri sendiri, juga kepada kumpulan di bawah bimbingan mereka termasuk dalam hal menjaga hubungan dengan Allah.

Allah berfirman yang bermaksud :
Sesungguhnya yang takut kepada Allah antara hambanya ialah ahli ilmu.” (Surah Faathir, ayat 28)

Firman Allah lagi yang bermaksud :
Wahai orang beriman, apabila dikatakan kepada kamu berikan sedikit ruang pada majlis, maka berikan ruang, nescaya Allah akan memperluaskan ruang untuk kamu. Allah mengangkat darjat orang yang dikurniakan ilmu kepada mereka dan (ingatlah) Allah itu Maha Mengetahui terhadap apa saja yang kamu kerjakan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11) (2)

# Guru juga berperanan sebagai ibu bapa

Guru secara tidak langsung akan memainkan peranan ibu bapa seperti mendoakan kejayaan anak muridnya, memberi galakan dan motivasi dalam pembelajaran, mengingatkan dan memberi nasihat tentang perkara – perkara yang baik dan buruk, menegur anak – anak murid jika melakukan kesalahan dan menerangkan perkara yang patut dilakukan, memberi puji – pujian dan kata – kata peransang, lebih menghabiskan masa berjumpa dan berbincang dengan anak murid tentang permasalahan yang mungkin timbul dan lain – lain lagi.

Oleh itu guru boleh dianggap sebagai ibu bapa ‘kedua’ apabila berada di sekolah kerana guru bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pelajar, lebih – lebih perkara yang berkaitan keselamatan.

# Gurulah kaunselor yang menjadi tempat rujuk pelajar merungkai persoalan dan masalah.

Guru bertindak sebagai pendengar yang aktif sekiranya terdapat pelajar yang datang untuk menceritakan atau berkongsi masalah. Guru kemudian cuba memahami dan kemudian mencadangkan beberapa perkara yang mungkin boleh dijadikan pilihan oleh pelajar tersebut. Keputusan mutlak terletak kepada pelajar itu sendiri setelah berlaku perbincangan baik dan buruk sesuatu langkah yang bakal diambil.

Segala kekeliruan dan persoalan guru perlu menjawab dengan ikhlas dan jujur. Jawapan yang diberikan bergantung kepada ilmu pengetahuan yang kita ada. Sekiranya tidak pasti dengan jawapan, tidak salah untuk mengatakan bahawa kita tidak mempunyai cukup pengetahuan mengenai sesuatu perkara, namun ia perlu disusuli dengan cadangan yang mana boleh pelajar tersebut membuat rujukan atau memperoleh jawapan. Jujur pada diri untuk mengelak kecewa dan ketidakpuasan hati. Ingat, segala jawapan yang diberikan kepada pelajar adalah ilmu yang mungkin ‘menyesatkan’ pelajar berkenaan.

# Guru itu pembimbing

Guru bertindak sebagai muaddib dan pembimbing. Guru bertanggungjawab menyelia dan mengawal disiplin, penyubur sifat terpuji dan mementingkan kerohanian anak-anak didik sendiri. (16)

Disiplin amat dipentingkan dalam pendidikan dahulu. Disiplin bermakna mengikut peraturan yang ditetapkan. Pendidikan sekarang berkonsepkan kaunseling.

Kaunseling bermakna 'membimbing'. Membimbing anak bangsa kita dengan semangat (sifat) yang baik. Bila digabungkan disiplin dengan bimbingan, sepatutnya kita akan membuahkan manusia yang berbudi pekerti mulia dan berpelajaran tinggi. Adalah wajar tiap-tiap diri guru sekarang menjadi dan sanggup bertindak sebagai guru disiplin dan kaunseling. (4)

Nilai Kasih Sayang dalam Mendidik

Mengamalkan elemen dan nilai kasih sayang dalam hubungan guru-pelajar dalam mendidik. Selain itu, tumpuan adalah pembinaan tanggungjawab merupakan elemen penting sebagai asas hubungan antara guru dan pelajar.

Elemen kasih sayang ini boleh dilaksanakan dengan sentiasa memberikan pujian-pujian yang ikhlas dan tepat kepada para pelajar. Serta sentiasa menggunakan lebih ‘kelembutan’ berbanding ‘kekasaran’. Selain itu dalam melaksanakan sesuatu pengajaran dan pembelajaran, permudahkanlah kaedah dan cara agar murid mudah memahami apa yang dipelajari dan gembira mendapat ilmu daripada guru.

1) Pujian Guru kepada Pelajar

Pujian-pujian yang ikhlas dan tepat kepada para pelajar boleh membuatkan pelajar rasa seperti segala apa yang dilaksanakan dihargai dan boleh membantu pelajar lebih bersemangat. Menggalakkan pelajar melaksanakan sesuatu perkara dengan baik, betul dan bersungguh - sungguh.

Maka ucapan 'terima kasih', 'tahniah', 'bagus', 'saya bangga' dan pujian seumpamanya patut diamalkan secara ikhlas dan berterusan di sekolah. Kajian pendidikan membuktikan bahawa pujian merupakan kaedah utama dan berkesan untuk membina hubungan kasih sayang di sekolah.

Bagaimana jika pelajar melakukan kesalahan atau kesilapan. Maka mereka seharusnya diberikan nasihat yang tepat dan jelas oleh para guru. Apa yang pasti, memukul sesuka hati bukanlah amalan pendidikan yang sesuai untuk pendidikan di peringkat sekolah rendah, malah tidak pernah dianjurkan oleh mana-mana agama dan kepercayaan.

Saintis terkenal, Albert Einstein pernah berkata bahawa makna kepada pendidikan ialah sesuatu yang masih diingati oleh seseorang apabila beliau sudah terlupa tentang semuanya tentang zaman persekolahannya dahulu.

Maka apa yang masih terus diamalkan atau digunakan sebagai panduan hidup itulah ilmu hasil didikan daripada bekas guru-gurunya. Selama belasan tahun di sekolah, biasanya lebih banyak yang dilupakan oleh seseorang dan sangat sedikit sahaja yang diingati. Dan antara perkara yang boleh diingati ialah pujian yang diberikan oleh beberapa orang guru yang diberikan kepada pelajarnya yang mana pujian ini banyak membina semangat dan keinginan pelajar untuk cemerlang dalam pelajaran.

Mereka mungkin lupa bahawa pujian secara psikologinya jika dilakukan dengan cara dan gaya yang betul akan menjadi kaedah yang paling berkesan untuk mempengaruhi tindakan, pemikiran serta sikap pelajar.

Ramuan yang betul dalam memberikan pujian seperti pemilihan bahasa yang tepat, kesesuaian masanya dan dizahirkan dengan ikhlas dari hati guru akan membuatkan tingkah laku seseorang pelajar dapat ditingkatkan atau diperbaiki ke arah yang lebih positif.

Kadang kala pujian juga boleh menjadi tidak berkesan walaupun dilakukan berulang kali oleh guru. Sebagai contoh, memuji pelajar selepas beberapa lama perbuatan positif dilakukan tidak akan mengembangkan tingkah laku positif pelajar.

Pujian diberikan sejurus selepas pelajar melakukan perkara yang baik. Misalnya adalah sangat berkesan jika guru memberikan pujian selepas seseorang pelajar berjaya menjawab dengan betul berbanding memberikan pujian beberapa lama selepas pelajar memberikan jawapannya.

Di luar kelas, adalah sangat berkesan guru memberikan pujian sebaik sahaja pelajar melakukan perkara yang baik misalnya membuang sampah ke dalam tong sampah atau pelajar berbaris semasa membeli makanan di kantin sekolah berbanding memberikan pujian secara umum semasa perhimpunan lama selepas tingkah lalu tersebut di lakukan.

Pujian secara umum atau generalisasi dilihat tidak berkesan. Pujian seperti 'awak baik', 'awak pandai' atau 'awak bersih', sebenarnya kurang memberikan kesan kepada pelajar. Pujian seharusnya berbentuk khusus atau spesifik. Misalnya "Cikgu bangga dengan pencapaian markah kamu dalam ujian kali ini".

Ada juga pujian yang boleh dilakukan dengan menulis sesuatu di dalam buku atau kertas jawapan pelajar yang dapat dibaca atau difahami oleh pelajar tersebut sebagai satu pujian yang khususnya ditujukan kepada kebolehan atau pencapaiannya sama ada yang bersifat akademik, atau kerana tingkah laku atau sikap yang baik.

Malah lebih buruk lagi jika ramuannya tidak betul, pujian bukan sahaja boleh menjadi tidak berkesan tetapi boleh menyebabkan tingkah laku seseorang pelajar menjadi lebih buruk dari sebelumnya.

Misalnya apabila seseorang pelajar melakukan perkara yang baik dan diberikan pujian oleh guru tetapi dalam bentuk sindiran maka pujian seperti ini akan menyedihkan pelajar.

Sebagai contoh apabila seorang guru berkata kepada pelajarnya "awak ini bukanlah pandai sangat tetapi mungkin nasib anda baik mendapat markah yang tinggi dalam ujian ini kali ini, tahniahlah untuk awak".

Pujian seperti sindiran juga boleh berlaku dalam bentuk perbandingan. Misalnya, "tahniah kerana awak berjaya mendapat markah yang baik tetapi nampaknya markah awak masih rendah berbanding kawan awak si X". Usaha lagi nanti". Atau ada juga pujian seperti," Markah anda dalam ujian kali ini baik. Jadi jangan lagi seperti ujian-ujian yang lalu. Saya mahu setiap kali ujian markah anda akan baik daripada hari ini".

Seterusnya ialah pujian yang melibatkan soal kuantiti dan juga kualiti. Pujian merupakan kuasa positif yang jika selalu digunakan secara berkesan akan meningkatkan pembangunan positif pelajar.

Oleh itu lebih banyak pujian sebenarnya adalah lebih baik. Bagaimanapun kuantiti pujian seharusnya dilengkapi dengan pujian yang berkualiti. Jadi di sekolah rendah kualiti pujian yang baik seharusnya di ikuti dengan pelukan guru kepada pelajar (tentunya guru perempuan sahaja yang sesuai melakukannya, pada guru lelaki bolehlah melakukan dengan memberikan senyuman menunjukkan rasa bangga).

Pujian yang baik ialah yang dilengkapi dengan sentuhan atau tingkah laku senyuman yang menunjukkan rasa kasih dan sayang seorang guru pada pelajarnya.

Sebenarnya ada kajian yang menunjukkan kebanyakan guru kurang atau tidak suka memberikan pujian kepada para pelajar. Malah di kalangan guru yang mengakui mereka telah memberikan banyak pujian kepada pelajar, sebenarnya pujian yang mereka berikan masih kurang daripada apa yang diharapkan atau di rindu oleh pelajar.

Percayalah, pujian boleh mengubah pelajar. Jika guru dapat melakukan secara berterusan dengan penuh hikmah dan sabar maka akan lebih ramai pelajar yang akan mengubah sikap dan tingkah laku menjadi lebih positif.

Amalan pujian bukan sahaja paling berkesan mengubah tingkah laku pelajar tetapi sebenarnya berkeupayaan untuk membina persekitaran bilik darjah yang penuh motivasi, kasih sayang dan harmoni.

Disebabkan oleh persekitaran, minda pelajar sebenarnya lebih cenderung untuk memberikan super-respons kepada perkara negatif yang diasak keadaan mereka berbanding perkara positif. Misalnya pelajar akan lebih cepat sedih bila dimarahi oleh berbanding gembira bila mereka dipuji.

Mereka juga biasanya akan lebih cepat merasa malu apabila disindir berbanding merasa bangga apabila berjaya mencapai sesuatu. Oleh itu untuk membolehkan tingkah laku positif berkekalan dicapai, maka pujian secara berterusan, berkualiti serta ikhlas perlulah dilakukan oleh para guru.

Malah secara tidak sedar juga, kebanyakan guru juga lebih cenderung untuk cepat memberikan respons kepada tingkah laku negatif pelajar berbanding tingkah laku perbuatan positif pelajar lebih lagi bila guru berada di dalam tekanan kerja atau keadaan fizikal yang lemah atau letih.

Oleh itu jika para guru dapat memulakan pujian kepada pelajar secara berterusan maka satu hari nanti pelajarnya pula akan menjadi seorang dewasa yang akan pula sentiasa memberikan pujian kepada para rakan sekerja di tempat kerajaan atau anak-anak mereka di rumah. Semoga pelajar tidak akan lagi merindui pujian daripada guru-guru mereka. (6)

2) Guru dituntut Mempermudahkan Segala Urusan dan Menyampaikan Khabar Gembira

Lihat pada hadis berikut ini.
ABU Burdah berkata : "Rasulullah mengutus ayahku, Abu Musa dan Muaz ke Yaman. Nabi berkata: Mudahkanlah dan janganlah kamu menyukarkan, gembirakanlah dan jangan kamu menyusahkan dan bersedia sekatalah kamu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam menyampaikan ilmu ada tatacara yang perlu diamalkan supaya segala apa disampaikan menjadi ikutan. Antaranya, kita dilarang daripada menyukarkan manusia melakukan ketaatan kepada Allah.

Nabi SAW juga menyuruh kita menggembirakan manusia bukan menjadikan mereka berasa benci dengan ajaran disampaikan. Oleh itu, kita hendaklah mendahulukan perkara menyedarkan manusia dan membangkitkan semangat mereka untuk melakukan kebaikan.

Jangan sekali-kali kita memberatkan dengan perkara berbentuk ancaman kerana ia akan menjauhkan masyarakat daripada agama dan kebenaran. Sebaliknya, jinakkan hati mereka dengan bertindak secara berhikmah kerana perubahan manusia kebiasaannya memakan masa dan melalui peringkat serta tahap tertentu bukan bersifat drastik atau melulu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
Permudahkanlah semua urusan dan jangan menyusahkannya, berilah khabar gembira dan janganlah membuat sesuatu yang menyebabkan orang lain lari.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Islam adalah agama mudah dan senang diamalkan setiap golongan. Oleh itu, hendaklah ia dipermudahkan dan janganlah dijadikan sebagai bebanan dalam menyampaikan sesuatu ilmu.

Umat Islam hendaklah sentiasa menyampaikan perkhabaran yang menggembirakan dan janganlah menimbulkan perkara membawa kepada kesulitan hidup. (9)

3) Guru dituntut Bersikap Lemah Lembut, sentiasa Sabar

Firman Allah yang bermaksud :
Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu dialah yang lebih mengetahui siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dia-lah yang lebih mengetahui orang yang mendapat petunjuk.” (Surah An-Nahl, ayat 125)

Justeru, guru perlu mempunyai sifat lemah lembut dan sentiasa menghiasi diri dengan sifat sabar walaupun terpaksa berdepan mereka yang menentang kerana mendidik melalui contoh yang baik adalah lebih berkesan.

Kewajipan sentiasa berlemah lembut turut ditekankan Rasulullah SAW dalam apa hal kerana kebajikan diharamkan bagi mereka yang tidak mempunyai sifat lemah lembut. Sabda Baginda yang bermaksud :
Barang siapa yang tidak memiliki sifat lemah lembut, maka diharamkan seluruh kebaikan bagi dirinya.” (Hadis riwayat Imam Muslim) (9)

GURU ITU MEMIMPIN


# Guru sebagai Pemimpin

Khidmat guru jika dilakukan dengan ikhlas bukan saja dapat melahirkan generasi yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara, malah membuka peluang kepada guru meraih keberkatan serta reda Allah.

Sesungguhnya, amanah menyampaikan ilmu adalah tanggungjawab yang dipersoalkan pada akhirat kelak. Rasulullah SAw bersabda yang bermaksud :
Setiap kamu ialah pemimpin dan setiap kamu juga bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi) (2)

Segala ilmu disampaikan guru kepada pelajar akan dipertanggungjawabkan pada hari akhirat. Di sini peranan guru meningkatkan usaha serta kreativiti supaya proses pembelajaran dapat dilaksanakan secara berkesan.

Kecemerlangan pendidikan tidak boleh dilihat dari sudut akademik semata-mata. Dalam proses pembelajaran, para pelajar didedahkan juga dengan nilai-nilai kepemimpinan misalnya, yang menjadi asas dalam pembentukan masyarakat maju. Ini hanya akan berlaku jika guru itu ada kepimpinan. Guru bukan setakat guru di dalam bilik darjah, mereka juga pemimpin dalam bilik darjah. Mereka boleh memimpin para pelajar dalam sistem moral, akhlak, kreativiti, daya usaha. Kesemua ini bergantung kepada guru sendiri. Sebab itu dalam sistem pendidikan kita, kita tekankan kokurikulum supaya pelajar dapat dinilai dari sudut sikap untuk menjadi kreatif dan ada semangat tambah nilai kepada usaha pelajar di samping kemahiran tambahan. (15)

# Guru ialah Ejen kepada Keberkesanan Pendidikan.

Kejayaan dan keberkesanan pendidikan berhubung rapat dengan kesedaran guru terhadap tanggungjawab, kelengkapan ilmunya dan keluhuran peribadinya. Kesepaduan antara kemahiran keilmuan dengan keluhuran peribadi adalah kriteria peribadi pendidik yang tidak boleh dipisahkan, sebaliknya jadi contoh berkesan. (2)

Guru bertindak sebagai penunjuk pandu. Masyarakat meletakkan harapan tinggi kepada golongan guru bagi memberi didikan semaksimum mungkin kepada anak-anak mereka. Potensi diri seseorang yang telah memilih kerjaya sebagai seorang guru sebenarnya mampu menjelmakan hasrat murni tersebut tetapi perlulah dilampir dengan dengan keikhlasan dan iltizam yang ampuh. (16)

Guru sebagai manusia biasa. Sanjungan dan tingginya harapan seluruh komuniti masyarakat terhadap guru tetap tidak dapat merubah hakikat diri bahawa guru juga adalah manusia biasa yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan atau keterlanjuran. (16)

# Guru adalah sebagai Idola, Membina Sahsiah dan Nilai Manusia terhadap orang di bawah pimpinan.

Guru sebagai idola para pelajar. Guru perlu sentiasa bertingkah laku sopan, bersifat intelek, ini kerana pada mata masyarakat, guru sebenarnya dianggap golongan cendekiawan yang berkemampuan membawa reformasi mental dalam kehidupan seharian. (16)

Guru sebagai ‘qudwah hasanah’ (contoh terbaik) kepada masyarakat. Setiap sifat, gerak-geri, tingkah laku, tutur kata, tata cara hidup selalunya menjadi ikutan oleh pelajar dan masyarakat sekeliling. Justeru, guru mesti berwibawa dan dapat memberi contoh yang baik dalam semua hal. (1)

Guru perlu mempunyai sahsiah yang baik untuk dicontohi pelajar dalam pembentukan sahsiah mereka. Contoh teladan pendidik ini yang banyak membantu pembentukan akhlak pelajar. Mereka yang seharusnya terlebih dulu dilengkapi ciri akhlak mulia walaupun masyarakat kurang menghargai watak yang berbudi luhur. (2)

Guru perlu sentiasa menjaga akhlak dan tingkah laku supaya dapat menjadi ikutan terbaik kepada generasi muda. Guru harus sedar setiap tingkah laku mereka sentiasa menjadi perhatian masyarakat. Jangan sesekali bercakap sesuatu yang tidak pernah dilakukan. Sesungguhnya balasan Allah amat berat bagi mereka yang tidak melakukan apa yang diperkatakan.

Firman Allah yang bermaksud :
"Wahai orang beriman, mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya. Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya." (Surah as-Saf, ayat 2-3)

Hakikatnya, jika guru tidak menjaga maruah dan perilaku, mereka merendahkan fungsi dan martabat sendiri pada mata masyarakat, seterusnya mengabaikan amanah Allah bagi melahirkan umat yang terbaik menerusi ilmu pengetahuan. (14)

Impak guru dalam kehidupan kita cukup besar termasuk dalam membentuk personaliti dan keperibadian.

# GURU JUGA SEBAGAI PEMBINA NEGARA BANGSA


Guru mempunyai peranan dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Peranan guru menjadi harapan bagi memastikan pembentukan jati diri pelajar yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh kepada agama dan nilai sejagat. (2)

Guru melalui pendidikan, boleh membentuk bangsa yang bersatu padu dan bangsa yang mampu memahami aspirasi negara seterusnya membawa Malaysia ke mercu lebih gemilang pada masa depan. Kita melihat pentingnya guru dalam membentuk generasi lebih seimbang.

Masa depan negara bergantung kepada keupayaan guru melahirkan generasi berkemahiran dan memenuhi cita rasa bangsa dan negara. Guru juga bertanggungjawab membimbing anak kita untuk terus menjadi manusia sempurna, insan kamil yang sekali gus dapat mewarisi usaha membangunkan negara. (13)

Kepelbagaian kaum dan keturunan yang kita kenali sebagai masyarakat majmuk di negara ini membentuk keistimewaan tersendiri selain bersatu padu dan mempunyai impian sama dalam memajukan negara. Menerusi sistem pendidikan negara, antara matlamat utama ialah membentuk rumpun bangsa. Kepelbagaian bangsa dan bahasa itu bukan satu kekangan, sebaliknya kekuatan dan tambah nilai dalam membentuk satu bangsa yang kuat. Pembentukan perpaduan serta toleransi bermula pada peringkat sekolah. Ia menjadi tanggungjawab semua pihak terutama guru dalam membentuk keseimbangan di kalangan pelajar yang datang daripada pelbagai kaum dan keturunan dalam proses membentuk perpaduan. (13)

Secara ringkasnya, guru – guru berperanan memupuk perpaduan, semangat patriotisme, menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta membentuk akhlak dan jati diri murid. (5)

Guru bukan saja menyampaikan ilmu dalam kelas, sebaliknya guru juga membawa pengaruh sosial, membentuk ciri kepemimpinan, personaliti dan meniup inspirasi mendorong pelajar mencipta kejayaan, baik dalam aspek akademik mahupun insan seimbang.

Artikel berkaitan : GURU OH GURU, CIKGU OH CIKGU... bahagian 2