Thursday 27 October 2011

BANYAK SIJIL KENA BUAT.....

Bila lihat pada tajuk.... sijil apa yang kena buat.
Bukannya buat sijil tapi kena sediakan sijil – sijil yang berkaitan untuk anak – anak murid yang dikasihi sekalian.

Sesi persekolahan akan tamat tidak lama lagi dan keputusan UPSR 2011 juga akan diumumkan tidak lama lagi.

Jadi, masa inilah cikgu – cikgu terutama cikgu – cikgu tahun enam perlu menyediakan sijil – taip guna ‘typewriter’ atau yang kalau ada ilmu ICT sikit bolehlah guna ‘words’ dan ‘excel’ untuk sediakan sijil tersebut. Antara sijilnya ialah sijil PLBS, sijil Ko-kurikulum, sijil tamat sekolah dan sebagainya.

Inilah salah satu tugas guru yang orang tidak tahu.... iaitu sediakan sijil. Tapi tak mengapa, demi tugas, kita perlu laksanakan. Lagipun kita buat untuk anak – anak murid kita.

Sekarang ni seronok sangat sediakan sijil sebab dah tahu kaedah yang agak pantas untuk menyediakannya. Apa pun beri pujian untuk Ustaz R saya sebab tunjuk ajar saya buat sijil cara pantas.

Ni yang saya rasa saya nak kongsi nie.

Langkah 1
Ambil sampel sijil.... minta kat pentadbir atau penyelaras terlibat.

Langkah 2
Lihat perkara atau maklumat yang perlu ada dalam sijil seperti nama, angka giliran, no surat beranak dan sebagainya.

Langkah 3
Buka ‘excel’, pada ‘sheet 1’ masukkan semula perkara (tajuk) dan lengkapkan maklumat yang diperlukan. Lepas tu ‘save’.

Langkah 4
Dah siap... ni langkah yang agak mencabar sikit.
Buka ‘words’, tekan ‘enter’ banyak – banyak kali untuk kita dapat ruang satu muka surat. ‘Highlight’ barisan pertama.

Lepas tu pergi kat bar atas tu ada pilihan / ‘option’, klik pada ‘mailings’, klik ‘start mail merge’, pilih ‘normal word document’... ni untuk buat sijil yang bersaiz A4. Ada ker sijil yang bukan saiz A4.

Kemudian pergi ke pilihan sebelahnya, ‘select recipients’, pilih ‘use existing list’. SILA PILIH ‘FILE EXCEL’ YANG KITA BUAT TADI. Jangan lupa pula kat mana kita ‘save’ tadi.

Langkah 5
Kita buat ‘placing’ butiran terlibat – eh macam main bola pulak.... ni pun mencabar sikit.
Pada bahagian ‘mailings’ tu tadi pilih ‘insert merge field’, kat sini kita pilih sahaja perkara (tajuknya) yang kita dah taip dalam fail excel tadi. Semua perkara tajuk itu sudah siap tersenarai, pilih sahaja.

Lepas tu baru buat ‘placing’, tapi sebelum tu pada sila tekan ‘preview results’. Senang sikit bila kita buat ‘placing’ nanti. Dengan menggunakan butang ‘enter’, ‘arrows’, ‘tab’ dan ‘space bar’, dengan cara mengubah saiz dan jenis ‘font’, ‘paragraph’, buat ‘placing’ dan setkan semua perkara pada kedudukan yang seperti mana sijil.

Langkah 6
Cetak. Untuk pastikan ‘placing’ kita tepat. Kalau tak tepat buat sedikit ‘alteration’ yang perlu.

Langkah 7
Bila dan puas hati, ‘preview results’, ‘scroll record’ kiri dan kanan. Kita lihat semua senarai. Pada ketika ini, semua maklumat yang kita masukkan dalam fail ‘excel’ akan bertukar – tukar secara sendirinya. JANGAN LUPA ‘SAVE’ FAIL WORDS TU.

*Kadang – kadang bila kita ‘scroll’ maklumat akan lari dari kedudukan yang kita dah tetapkan. Ni kena buat lagi ‘alteration’. Ubah maklumat misalnya guna singkatan, saiz perkataan dan sebagainya.

Langkah 8
Part’ ni paling saya suka. ‘Print’ – cetak sijil, tanpa buat apa – apa dan tunggu saja pencetak cetak sijil kita.

Pastikan ada pencetak yang bersambung dengan komputer kita... dan ada dakwat. Letak sijil. Pergi pada pilihan ‘mailings’ dan pilih ‘finish & merge’, pilih ‘print documents’. Ia akan bagi kita pilihan sama ada hendak cetak ‘All’, ‘current record’ atau ‘from _ to _’. Ia akan pergi ke ‘printer setting’. Pastikan saiz pada pencetak disetkan saiz A4. Tekan ok dan cetakan bermula.

Langkah 9
Tahniah. Kalau tidak berjaya cuba lagi. Bawa sijil yang telah dicetak untuk ditandatangani atau apa – apa perkara yang sewaktu dengannya.

*Pada fail ‘excel’ boleh dibuat perubahan maklumat jika perlu. Apabila telah selesai buat perubahan, ‘preview results’ pada ‘words’. Nanti bila buka fail ‘words’ ada ‘pop-up’ yang keluar... jangan gentar klik ‘YES’ sahaja. Sistem akan ‘link’ balik dengan ‘data source’ kita.
Kalau boleh letakkan fail excel dan fail words dalam satu folder. Ni kita boleh guna untuk tahun hadapan kalau tiada perubahan pada sijil.

Langkah 10
Kalau ada masalah boleh email saya di naimoiman@gmail.com.

SELAMAT MENCUBA DAN JANGAN PUTUS ASA....

Monday 12 September 2011

UPSR muncul lagi....

Bagi murid – murid cikgu yang bakal menduduki UPSR nanti, dengarlah lagu ini membakar semangat dalam mengharungi peperiksaan. Siapa yang rasa ‘down’, dengar betul – betul lagu ini dan hayati liriknya.

Cikgu mendoakan, kemudahan dan kefahaman bagi anak – anak murid cikgu. Semoga Allah membantu anda.

SELAMAT BERJAYA.... BUAT YANG TERBAIK.

Faizal Tahir - Gemuruh

Bila bertalu rentak di kalbu
Hasrat yang tersirat semakin ku buru
Bila bergema laungan gempita
Harapan bernyala nadiku berganda

Gemuruh jiwa semangat membara
Dari puncak ingin ke angkasa
Berkalungkan bintang berkelipan
Menyerlah jauh dari yang biasa

Bila bertalu rentak di kalbu
Hasrat yang tersirat semakin ku buru
Bila bergema laungan gempita
Harapan bernyala nadiku berganda

Gemuruh jiwa semangat membara
Dari puncak ingin ke angkasa
Berkalungkan bintang berkelipan
Menyerlah jauh dari yang biasa

Ungkapan ini bukan sekadar bermimpi
Segalanya pastikan terbukti nanti

Ulang :
Gemuruh jiwa semangat membara
Dari puncak ingin ke angkasa
Berkalungkan bintang berkelipan
Menyerlah jauh dari yang biasa


Thursday 8 September 2011

Pesanan terakhir Rasulullah SAW

Semasa penulis menziarah rakan penulis sempena Eidul Fitri, kalau tak salah penulis pada hari Ahad, 3 September 2011 bersamaan 6 Syawal 1432 di Gombak, dalam melihat sekitar dalam rumah rakan itu, penulis ternampak satu bingkai yang di dalam tertulis tajuk “Khutbah Jumaat Terakhir Rasullullah”. Tidak sempat baca semua. Balik terus penulis cari dalam internet. Alhamdulillah jumpa, oleh itu penulis inginkan kongsi bersama khutbah ini bersama pembaca sekalian. Semoga ia menjadi sumber inspirasi dan iktibar untuk kita dan mengingati kembali tujuan sebenar kita dihantar ke muka bumi ini...


Ketika Rasulullah mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijrah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah itu ialah:

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini."

"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang."

"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil."

"Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina."

"Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh."

"Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku."

"Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku."

"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."


Sumber rujukan : assyakrin

Sunday 28 August 2011

SELOKA RAMADHAN SYAWAL

Nukilan : naimoiman


Ramadhan datang dan pergi...
Bersyukur kepada Allah yang SATU, dipertemukan Ramadhan tahun ini,
Moga Ramadhan kali ini lebih bermakna dan lebih baik berbanding sebelumnya,
Ya Allah, moga KAU panjangkan umurku untuk bertemu RAMADHAN yang akan datang... INSYAALLAH.



Ramadhan datang dan pergi...
Ramadhan, bulan penuh KERAHMATAN, PENGAMPUNAN DAN KECEMERLANGAN,
Sepuluh malam terakhir Ramadhan, ada malam Lailatul Qadar... beribadah di malam ini sama dengan pahala seribu bulan... YA ALLAH, moga ku terpilih untuk berjumpa dengan LAILATUL QADAR.



Syawal kini menjelma...
Pagi Syawal, bergema takbir memuji Illahi,
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar,
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar.



Syawal kini menjelma...
BULAN KEMENANGAN umat Islam dalam menangkis dan menahan segala gelora nafsu melampau,
Sambut Syawal dengan penuh adab dan susilanya,
Ucap syukur, mohon kemaafan dengan keikhlasan, ziarah merapat, meneguh segala ukhuwah.



Syawal kini menjelma...
Kampung halaman menjadi matlamat destinasi, tempat di mana ku dibesarkan,
Berjumpa sanak saudara, ayah ibu yang sentiasa ku rindui,
Maafkan diriku, halalkan makan minumku, doakan kesejahteraanku,
Ayah ibuku, tidak akan aku melukaimu,
Oh! Ayah, Oh! Ibu, ampunilah segala kesalahan dan dosaku.



Syawal kini menjelma...
Setiap umat Islam menyambutnya dengan penuh syukur dan gembira,
Yang berada jangan lupa yang miskin, yang bernasib baik jangan lupa yang tidak, yang berbahagia jangan lupa kepada mereka yang lara.

Monday 22 August 2011

PUASA RAMADAN 5 – Peristiwa Besar Pada Bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan bukan hanya terkenal sebagai pusat latihan ibadah kepada umat Islam, malah ia juga terkenal dengan peristiwa besar dalam sejarah Islam antaranya :

BULAN DITURUNKAN AL KITAB

Beberapa hari yang ditentukan itu ialah bulan Ramadhan. Bulan yang diturunkan di dalamnya (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk untuk manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pemisah antara yang benar dan salah.

Para pakar tafsir dan hadis merekodkan, Allah juga menurunkan kitab-kitab dan suhuf iaitu kitab-kitab kecil selain Zabur, Taurat, Injil dan Al Quran kepada para rasul terdahulu pada bulan Ramadhan.

PERISTIWA BADAR

Pada hari Jumaat 2 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah berlakunya perang pertama dalam Islam yang dikenali Perang Badar. Badar adalah nama tempat di sebuah lembah yang terletak di antara Madinah dan Mekah. Tentera Islam mengawal lokasi strategik dengan menguasai sumber air yang terdapat di situ.


Perang ini melibatkan tentera Islam seramai 313 anggota berhadapan dengan 1,000 anggota tentera musyrikin Mekah yang lengkap bersenjata. Dalam peperangan ini, tentera Islam memenangi pertempuran dengan 70 tentera musyrikin terbunuh, 70 lagi ditawan manakala bakinya melarikan diri.

Peperangan ini adalah suatu yang luar biasa apabila tentera Islam yang kurang jumlah, lemah daripada sudut kelengkapan dan berpuasa dalam bulan Ramadhan memenangi pertempuran Perang Badar. Ini membuktikan puasa bukan penyebab umat Islam bersikap lemah dan malas sebaliknya berusaha demi mencapai keredhaan Allah. Orang yang berjuang demi mencapai keredhaan Allah pasti mencapai kemenangan yang dijanjikan. Allah menegaskan dalam Surah Aali ‘Imran ayat 123 hingga 125.

Sesungguhnya Allah menolong kamu dalam Perang badar, sedangkan pada masa itu kamu orang yang lemah. Sebab itu bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mensyukurinya.

ISLAM MEMBUKA KOTA MEKAH

Peristiwa ini berlaku pada 10 Ramadhan tahun ke-6 Hijrah. Peristiwa kemuncak ini berlaku apabila musyrikin Mekah melanggar perjanjian Hudaibiah yang termeterai dengan orang islam. Antara kandungan perjanjian ini menyebut, setiap suku Arab boleh memilih sama ada menjadi sekutu Muhammad ataupun sekutu Quraisy. Kedua-dua pihak tidak boleh berperang dalam tempoh 10 tahun dan tidak boleh membantu pihak lain berperang.

Malangnya, dalam suku-suku Arab yang bersekutu itu, ada golongan yang bertelagah iaitu Bani bakar dan Khuza’ah. Bani Bakar bersekutu dengan Quraisy Mekah manakala Khuza’ah memilih bersekutu dengan Nabi Muhammad.

Pada satu malam, Bani Bakar dengan pertolongan Quraisy Mekah menyerang perkampungan suku Khuza’ah di lembah Watir. Apabila berita itu sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad, beliau mengerahkan ratusan ribu umat Islam mara ke Mekah tanpa pengetahuan penduduk musyrikin Mekah. Beliau menolak sebarang rundingan dengan pihak Quraisy sehingga kemaraan umat Islam hanya diketahui apabila hampir memasuki Kota Mekah. Penduduk musyrikin menjadi jumlah yang kecil tanpa sebarang persiapan hanya bersembunyi di bukit, rumah ibadat dan rumah Abu Sufian.

Akhirnya umat Islam memasuki kota Mekah tanpa sebarang pertumpahan darah. Peristiwa ini menggambarkan pertolongan Allah kepada hamba-hamba yang ikhlas kepadaNya. Allah menyebut dalam Al Quran Surah Al Fath ayat 1:

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata.

Sebahagian pakar tafsir Al Quran memberi maksud ‘kemenangan’ dengan kemenangan bermaksud membuka Mekah.

PERISTIWA PERJALANAN NABI MUHAMMAD SAW KE TABUK

Apabila pengaruh Nabi Muhammad SAW tersebar ke pelosok Semenanjung Tanah Arab, ia memberikan tamparan hebat kepada Rom yang menjadi kuasa besar pada masa itu. Lantas Herkules, Maharaja Rom Timur (Bizantin) memutuskan bagi menyekat pengaruh umat Islam dengan utara Tanah Arab.

Apabila berita itu samapai ke pengetahuan Nabi Muhammad SAW, beliau mengarahkan umat Islam berkumpul bagi menghadapi Rom dan mengutip zakat. Pada masa itu tanah Arab dilanda panas dan kesusahan. Iman umat islam ketika itu benar-benar teruji. namun, mereka tetap taat kepada perintah Nabi Muhammad. Beliau sendiri memimpin tentera seramai 30,000 anggota ke utara Madinah.

Apabila tentera Islam tiba di Tabuk, tentera Rom tidak berada di situ. Sebaliknya Rom menarik diri apabila mengetahui kemaraan tentera Nabi Muhammad SAW yang ramai. Tentera Islam terus mengasak Rom sehingga termeterai perjanjian antara Islam dan Rom. Sebagai persetujuan, Rom tunduk dan bernaung di bawah pemerintahan Nabi Muhammad SAW dan dikenakan cukai sebanyak 3,000 dinar setiap tahun.

ISLAM SAMPAI KE YAMAN

Yaman terletak di selatan Semenanjung Tanah Arab. Nabi Muhammad mengutuskan Ali bin Abu Talib dengan membawa surat beliau untuk penduduk Yaman khususnya suku Hamdan. Dalam tempoh satu hari, kesemua mereka memeluk agama Islam secara aman. Peristiwa bersejarah itu berlaku pada bulan Ramadhan tahun ke-10 Hijrah.

KHALID BIN AL WALID MERUNTUHKAN BERHALA AL ‘UZZA

Selepas umat Islam membebaskan kota Mekah, Nabi Muhammad SAW menyucikannya dengan memusnahkan 360 patung di sekeliling Kaabah. Lima hari sebelum berakhirnya Ramadhan tahun ke-9 hijrah, beliau menghantar Khalid al Walid bagi memusnahkan patung al ‘Uzza di Nakhla.

Menurut kepercayaan Arab jahiliyyah, al ‘Uzza adalah patung dewi terbesar di situ. Ia sering disebut oleh masyarakat Arab apabila melafazkan sumpah. Khalid al Walid melaksanakan tugas itu dengan bergerak menuju ke Nakhla lalu menghancurkan patung al ‘Uzza. Selepas itu, penyembahan patung pun berakhir.

PENYERAHAN BANDAR TAIF

Bandar Taif pernah mencatatkan sejarah apabila penduduknya menghalau Nabi Muhammad SAW semasa berdakwah di sana. Selepas beliau dan umat Islam berjaya membebaskan Mekah, golongan Bani Thaqif berkeras tidak mahu tunduk kepada Nabi Muhammad SAW. Nabi Muhammad SAW dan tentera Islam mara ke Taif lalu mengepungnya dalam tempoh yang lama. Akhirnya rombongan mereka datang ke Mekah pada bulan Ramadhan tahun ke-9 Hijrah dengan menyerahkan bandar Taif sebagai tanda menyerah kalah. Patung al Laata yang dipuja sebelum ini dimusnahkan.

PEMBUKAAN ANDALUS (SEPANYOL)

Andalus adalah nama Arab yang diberikan kepada wilayah-wilayah bahagian Semenanjung Iberia yang diperintah oleh orang Islam selama beberapa waktu bermula tahun 711 hingga 1492 Masihi. Pada 28 Ramadhan tahun ke-92 Hijrah, panglima Islam bernama Tariq bin Ziyad dihantar pemerintahan Bani Umaiyah bagi menawan Andalus.

Tariq memimpin armada Islam menyeberangi laut yang memisahkan Afrika dan Eropah. Selepas pasukan tentera Islam mendarat, Tariq membakar kapal-kapal tentera Islam supaya mereka tidak berfikir untuk berundur. Akhirnya Andalus ditawan dan menyelamatkan rakyatnya yang dizalimi. Islam bertapak di Andalus selama lapan abad dan meninggalkan kesan tamadun yang tinggi nilainya kepada dunia barat.

PEPERANGAN ZALLAQAH; PORTUGAL

Peristiwa ini berlaku selepas subuh hari Jumaat, bulan Ramadhan tahun 459 Hijrah. Ketika itu, berlaku kebangkitan Dinasti Murabit di Afrika Utara. Gabenor Cordova, al Muktamin meminta bantuan Sultan Dinasti Murabit, Yusuf bin Tasyifin bagi memerangi al Fonso VI. Tentera Kristian yang diketuai oleh al Fonso VI yang berjumlah 80,000 tentera berjaya dikalahkan. Dalam masa yang singkat Sultan Yusuf berjaya menguasai seluruh Sepanyol dan menyelamatkan umat Islam. Selepas itu, Sepanyol Dinasti Murabit berdiri sejak 1090 hingga 1147 Masihi.

TENTERA ISLAM MENGALAHKAN TENTERA MONGOL

Pada tahun 126 hingga 1405 masihi, kaum Mongol melebarkan penaklukannya hampir kesemua benua Asia. Menurut rekod, empayar penaklukan mereka meliputi seluas 33 juta kilometer persegi. Jeneral tentera Mongol dikenali sebagai Genghis Khan. Dalam misi penaklukan itu, mereka membunuh melebihi sejuta rakyat negara yang ditakluki. Penaklukan mereka menjangkau hingga ke Moscow dan Kiev.

Pada tahun 1258, tentera pimpinan Jeneral Hulagu Khan merempuh kota Baghdad yang menjadi kemegahan Dinasti Abbasiah. Dalam serangan itu, ramai umat Islam terbunuh dan banyak buku karangan sarjana Islam dibuang ke dalam Sungai Furat dan Dajlah sehingga airnya menjadi hitam kerana dakwat.

Pada 15 Ramadhan 658 Hijrah bersamaan 1260 Masihi, angkatan tentera Islam bangkit membuat serangan balas. Tentera Islam dan para ulama pimpinan Sultan Qutuz dari Dinasti Mamluk, Mesir mara ke Palestin selepas Mongol menguasainya. Kedua-dua pihak bertemu di ‘Ain Jalut.

Dalam pertempuran itu, tentera Islam meraih kemenangan dan berjaya menawan Kitbuqa Noyen, seorang Leftenan Kristian yang memberi nasihat kepada Hulagu Khan bagi menyerang Baghdad. Kitbuqa akhirnya dihukum bunuh. Kemenangan itu adalah suatu yang luar biasa apabila Mongol yang terkenal dengan keganasan akhirnya kalah kepada tentera Islam.

PEPERANGAN YAKHLIZ

Pada 15 Ramadhan 1294 Hijrah, bala tentera Islam Dinasti Uthmaniah yang dipimpin oleh Ahmad Mukhtar Basya dengan jumlah 34,000 anggota mengalahkan tentera Rusiayang berjumlah 740,000. Seramai 10,000 tentera Rusia terbunuh dalam pertempuran itu. Ia menjadi kebanggaan umat Islam mempertahankan agama yang diancam oleh kerajaan Tzar di Rusia.

TERTAWANNYA GARIS BAR LEV, ISRAEL

Dalam sejarah moden, berlaku Perang Yom Kippur yang melibatkan tentera Islam pakatan Mesir dan Syria dengan tentera Yahudi Israel pada 10 Ramadhan 1390 Hijrah bersamaan 6 Oktober hingga 22 atau 24 Oktober 1973 Masihi. Perang Yom Kippur, juga dikenali sebagai Peperangan Arab-Israel 1973, Perang Oktober, dan Perang Ramadhan.

Ia adalah sebahagian daripada konflik Arab-Israel sejak dari tahun 1948. Pada bulan Jun 1967, berlaku Perang Enam Hari antara Israel dengan Mesir, Syria dan Jordan. Dalam pertempuran itu , Israel berjaya menduduki Bukit Golan, Syria di utara serta Semenanjung SInai, Mesir di selatan sehingga ke Terusan Suez. Selepas itu, Israel membina barisan pertahanan di SInai dan Bukit Golan. Pada tahun 1971, Israel memperuntukkan 500 juta dolar Amerika bagi membina kubu dan kerja tanah raksasa yang dinamai Garis Bar Lev sempena nama Jeneral Israel, Haim Ber Lev.

Israel bermegah dengan kubu Bar Lev yang didakwa ‘tidak dapat ditawan’ kerana mempunyai kekebalan dan teknologi peralatan yang canggih. Namun, tentera Islam berjaya menawan kubu itu sekaligus mengalahkan Israel. Antara peristiwa menarik dalam peperangan ini adalah peranan seorang sarjana Islam merangkap sebagai Imam Masjid Bandar Suez al Marhum, Syeikh Hafiz Salamah yang mengambilalih pimpinan operasi peperangan.

Beliau menggantikan jawatan ini apabila gabenor daerah bersedia menyerah kalah. Akhirnya para mujahidin gabungan tentera Mesir, Syria dan penduduk bandar Suez berjaya megasak tentera Israel yang terpaksa berundur sehingga terpaksa menyerahkan Semenanjung Sinai dan Bukit Golan.

Rujukan : fauzanibrahim

Pautan berkait :
PUASA RAMADAN 1 - intro

Thursday 9 June 2011

Jalan – jalan Malaysia 2 – 'Bukit Gambang Resort City' dan 'Bukit Gambang Water Park'

Cuti sekolah tiba lagi. Cuti 2 minggu pertengahan tahun bagi tahun 2011.
Alhamdulillah saya panjatkan rasa syukur kepada Yang Maha Esa kerana memberi peluang saya menghirup udara segar di dunia ini.

Minggu pertama agak sibuk sebab kelas tambahan tahun 6 berakhir pada hari Selasa dan kemudian pada hari Rabu ada lawatan untuk murid – murid tahun 6 ke Petrosains, Suria KLCC. Tambahan pula markah untuk peperiksaan semester 1 ini perlu dimasukkan ke dalam semester pada masa cuti ini juga.

Tidak mengapa, itu bukan ceritanya. Minggu kedua cuti, isteri telah menempah penginapan bercuti di ‘Bukit Gambang Resort City’ selama 2 hari 1 malam, Isnin hingga Selasa. Menginap di ‘Family Suite’. Isteri berjaya mendapat potongan harga RM88 semalam. Cuba klik di sini kalau – kalau ada potongan harga lagi. Kalau tidak, boleh klik di sini untuk menempah terus dari laman sesawang 'Bukit Gambang Resort City'.

Pernah dengar nama tempat tersebut, dan tidak salah saya di situ juga ada ‘Bukit Gambang Water Park’ (Taman Tema Air Bukit Gambang)...... teruja memang teruja!!!!! Ikuti catatan saya ini.


Isnin, 6 Jun 2011
9.30 pagi
Bertolak ke destinasi dari Semenyih. Kalau dari Ampang boleh terus ke Lebuh Raya MRR2, seterusnya ke Lebuh Raya Karak dan kemudian masuk ke Lebuh Raya Pantai Timur.
Tapi dari Semenyih terus ke Lebuh Raya Lekas keluar di Senawang dan menuju ke Kuala Pilah – Ada jalan baru ke Kuala Pilah tidak ikut Bukit Putus terus keluar ke Ulu Bendul (Tapi saya ikut Semenyih – Beranang – Mantin – masuk LEKAS ikut masuk Setul). Dekat jalan baru itu terletak jambatan kedua tertinggi di Malaysia iaitu setinggi 48 meter.

1.45 tgh
Dari Kuala Pilah ke Serting, simpang empat belok kanan dan menuju ke Temerloh. Di Temerloh, yang merupakan Bandar Ikan Patin, singgah makan tengahari di ‘Food Court’ nya. Tapi tak pasti di mana. Makanannya memang sedap, dan tempat ni memang popular. Harga boleh tahan.... sediakan RM50.00 paling kurang.
4 jam perjalanan.... tapi kalau ikut lebuh raya Pantai Timur terus pasti sampai dalam masa 2 jam. Tapi perjalanan ikut jalan kampung memang menyeronokkan. Pemandangan yang indah yang pasti memberi pengalaman yang tidak dapat dilupakan.


2.30 petang
Meneruskan perjalanan ke Bukit Gambang menuju Kuantan.

3.30 ptg
Teruja! Tiba di selekoh masuk ke destinasi, 'Bukit Gambang Resort City'. Boleh klik di sini untuk lihat peta laluannya. Tempoh perjalanan selama 6 jam. Kalau ikut lebuh raya Pantai Timur lagi cepat. Mungkin kurang 4 jam. (MRR2 – KARAK – PANTAI TIMUR).



Pandangan masuk ke ‘Caribbean Bay Suites’. Kelihatan ‘tram’, salah satu cara pengangkutan ke ‘Bukit Gambang Water Park’ yang kira – kira 200 meter dari sini. Tu, belok kanan terus ke sana.



Urusan Daftar Masuk di Kaunter

Urusan daftar masuk hanya mengambil masa 5 minit sahaja kalau tiada masalah. Dapat ‘kad’ kunci apartment dan terus ke sana. Bawa kereta terus letak bawah blok. Blok S2, berdekatan dengan kaunter dan juga cafe, sama tingkat juga. Jadi tidak perlu naik turun, naik turun.

Senario dan keadaan dalam ‘Family Suite – dilengkapi perabot


Ruang tetamu


Mempunyai dua bilik yang dilengkapi bilik air masing - masing

5.15 ptg
Bawa anak – anak ke kolam renang. Ingatkan hendak terus ke taman tema air, tapi memandangkan kepenatan dan dah lewat, niat dan hasrat ditangguhkan esok. Tidak mengapa, biar anak – anak bergembira di dalam kolam.


Kolam renang yang terletak di tingkat LG1. Nak ke sana perlu menuju ke cafe dan ia terletak bersebelahan dengannya.

6.30 ptg
Menuju semula ke apartment untuk berehat. Anak – anak... biasalah, kena pujuk baru nak naik dari kolam renang.

Makan malam... tapau jer di cafe. Malas nak keluar memandangkan faktor kesihatan. Lagipun anak – anak lebih suka makan di rumah sahaja.

Malam pula berehat dalam penghawa dingin. NYAMANNYA.

Senario dan suasana sekitar ‘Caribbean Bay Suites



Cafe yang terletak bersebelahan kaunter daftar masuk. Makanan dan minuman dihidang secara buffet dan ala-carte. Tetapi ala-carte perlu ditempah 45 minit awal ketika waktu puncak. Harga buffet boleh tahan.... kalau tak salah kalau untuk dewasa makan tengahari dan makan malam ialah RM38.00 seorang dan RM20.00 untuk seorang kanak – kanak. Untuk sarapan pagi pula RM18.00 seorang dewasa dan RM9.00 untuk seorang kanak – kanak.

Untuk harga al-carte, hari tu beli nasi goreng kampung RM7.80 satu (untuk makan malam), sama harga dengan nasi lemak. Tapi berbaloi beli sebab bermacam – macam lauk dalam satu bungkusan.

Untuk makan di luar.... boleh juga, tapi kawasan ini agak jauh sedikit dari tempat – tempat makan di luar sana. Alang – alang kalau keluar pun duit minyak. Makan kat dalam saja lah.

Teringat masa berjalan – jalan di UK.... siap bawa periuk nasi untuk memasak makanan dan juga bawa masakan yang kering sebagai hidangan. Air.... sekadar air kosong saja.



Kemudahan tempat letak kereta yang banyak. Daripada bilangan kenderaan yang ada, kita tahu bahawa tempat ini boleh menarik ramai pengunjung.

Selasa, 7 Jun 2011
8.00 pagi
Bersarapan di cafe (Jangan lupa bawa baucer makanan – nanti kena bayar pulak). Ramai juga orang, tapi disebabkan kawasan cafe yang agak luas, tidak menjadi masalah.... ala – ala macam ada keramaianlah pulak.

Hidangan yang disediakan pada hari itu seperti kacang panggang, telur dadar, nasi, bijirin, roti dan jem, beberapa jenis kuih. Air minuman seperti teh dan kopi. Tapi tidak ada nasi lemak atau roti canai.

10.00 pagi
Mengemas. Terus daftar keluar sebab masa untuk daftar keluar ialah pukul 12.00 tgh. Kalau dah daftar keluar tidak payah nak kelam – kabut nanti. Tidak mahu mengganggu keseronokan di Taman Tema Air nanti. Lagipun dari situ boleh terus balik KL.


Beratur untuk mendapat tiket masuk ke Taman Tema Air. Kaunter memang disediakan di tempat penginapan (lokasi di kaunter daftar masuk apartment) ini agar pengunjung tidak perlu bersesak – sesak beratur di kaunter tiket di pintu masuk Taman Tema Air.

Harga.... pembaca nilailah sendiri. ‘Bukit Gambang Water Park’ ini tidak menggunakan sebarang tunai untuk urusan sewa ‘tube’ dan ‘Gabana’ (tempat rehat berbumbung) ataupin membeli makanan. Ia menggunakan E-VALUE (ala – ala kad ‘Touch and Go’ atau kad debit). Segala perbelanjaan ditolak daripada Gelang E-VALUE (Tidak semestinya semua yang melawat Taman Tema Air perlu beli E-VALUE). Minimum E-VALUE ialah RM50.00, ada RM100.00 dan RM200.00. Usah risau membeli E-VALUE, sebab nilai yang tidak dibelanjakan akan dipulangkan ketika balik nanti.


Tempat rehat berbumbungnya kena sewa RM40.00 sehari, lagipun kuantitinya tidak banyak. Lebih selamat bawa tikar ala – ala berkelah di tepi pantai, senang dan percuma. Makanan luar tidak dibenarkan tapi boleh bawa masuk ‘swimming ring’ atau ‘swimming board’ sendiri. Hati – hati sebab di pintu masuk akan diperiksa segala beg – beg yang dibawa bersama.

Senario dan suasana dalam ‘Bukit Gambang Water Park





Tempat rehat berbumbung dan cafe juga disediakan



Kawasan permainan air untuk kanak - kanak


Glasier River

Di sini juga adanya ‘slide – Rafting slide’ yang terpanjang di Malaysia – tiada gambar. Saya dan cuba memang panjang.

2.00 ptg
Bertolak balk ke Kuala Lumpur.
Memandangkan belum makan tengahari, balik ikut Lebuh Raya Pantai Timur.... keluar mengikut Pintu Tol Gambang dan kemudian berhenti di R&R Gambang untuk menjamu selera. Apa – apa makanan dan minuman di R&R lebuh raya memang sedap.


8.00 mlm
Tiba di Semenyih
Jalan yang dilalui, – Lebuh Raya Pantai Timur – Keluar Tol Karak – Karak – Kuala Pilah – Simpang Pertang – Kuala Klawang – Broga – Semenyih. Jalan belok – belok sebab jalan kampung.


Tempat penginapan ‘Caribbean Bay Suites’ ini baru dibuka 2 tahun yang lalu. Sedangkan Taman Tema Air nya sudah dibuka 3 tahun yang lepas. Tempat ini baru lagi dan untuk kawasan Pantai Timur, ini merupakan antara Taman Tema Air terawal yang wujud di sini. Akan datang akan ada beberapa tarikan di sini seperti Taman Safari dan sebagainya.

Ulasan : Tempat ini amat sesuai untuk percutian keluarga. Kalau nak jimat bolehlah sewa ‘Family Suite’ dan bawa ramai – ramai ahli keluarga. Bayaran untuk penginapan..... kongsi – kongsilah. Kalau nak menginap di ‘Studio Suite’ boleh, tapi tiada bilik. Makanan dan minuman, bawalah masakan kering dan bawa periuk nasi dan grill untuk masak nasi dan apa – apa makanan yang boleh disediakan tanpa mengambil masa yang lama tapi mengenyangkan.

Perbelanjaan, jumlahnya boleh mencecah RM700.00 untuk 5 orang ahli keluarga. Jadi ditambahkan lagi dengan duit minyak dan tol, sediakanlah lebih kurang RM1000.00 untuk bercuti di ‘Bukit Gambang Resort City and Water Park’ ini.

Kembali ke :
Jalan – jalan Malaysia - Intro